fbpx
Gambar hiasan.

Subsidi diesel diperluas ke Sabah, Sarawak, Labuan mulai 4 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan mengumumkan peluasan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan darat barangan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 4 Mei ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan berkata, fasa awal peluasan itu melibatkan pembukaan permohonan pendaftaran kepada syarikat-syarikat pengangkutan darat barangan di tiga wilayah berkenaan.

“Syarikat yang berkelayakan boleh menikmati subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter selepas mendaftar di bawah sistem tersebut.

“Permohonan boleh dibuat menerusi portal MySubsidi di pautan mysubsidi.kpdn.gov.my bermula jam 9 pagi, 4 Mei 2026,” katanya hari ini.

KPDN menjelaskan, antara syarat kelayakan adalah kenderaan mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah dan aktif, berdaftar sebagai kenderaan perdagangan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah atau Sarawak serta entiti perniagaan berdaftar dengan SSM, PBT atau SKM.

Selain itu, kenderaan juga perlu tersenarai dalam 23 kategori kenderaan darat barangan yang diluluskan di bawah SKDS.

Tambah kenyataan itu, terdapat tiga kategori pendaftaran iaitu kategori syarikat, koperasi/PBT dan pemilikan tunggal.

“Pembelian diesel bersubsidi akan dilaksanakan menggunakan kaedah fleet card. Syarikat yang diluluskan perlu memohon kad tersebut daripada syarikat minyak pilihan seperti Petronas, Shell atau Petron,” jelasnya.

Tempoh pemprosesan dan penghantaran fleet card dianggarkan antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada syarikat minyak dipilih.

Dalam pada itu, KPDN memaklumkan tempoh sah laku kelulusan SKDS bergantung kepada tempoh sah LKM atau cukai jalan kenderaan, yang perlu sentiasa dikemas kini bagi memastikan kelayakan subsidi berterusan.

Orang ramai atau syarikat yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi pusat panggilan KPDN negeri masing-masing atau melayari portal MySubsidi.

“KPDN menyeru semua syarikat pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang layak agar segera membuat permohonan.

“Kerajaan komited memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi dilakukan secara seimbang, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN