KELAS pembuatan kuih talam semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat yang ingin menguasai kemahiran menghasilkan kuih tradisional yang kian dilupakan.
Inisiatif seperti itu bukan sahaja memelihara warisan, malah membuka peluang kepada peserta menjadikannya sebagai sumber pendapatan.
Bertempat di Kampung Som, Jerantut, Pahang, telah berlangsung sebuah program dinamakan Kelas Pembuatan Kuih Talam pada 19 April lalu dengan disertai seramai 20 wanita tempatan.
Sepanjang program sehari itu berlangsung, para peserta diberikan tunjuk ajar secara praktikal dalam menghasilkan tiga jenis kuih tradisional yang popular iaitu kuih talam cendol, talam gula merah dan kuih lapis pelangi.
Menurut wakil penganjur dan tenaga pengajar, Siti Zabedah Ahmad, objektif utama program adalah untuk memastikan para peserta menguasai teknik asas penyediaan kuih-muih tradisional.
Ia bermula daripada cara membancuh tepung sehingga ke teknik mengukus yang betul bagi mendapatkan tekstur yang sempurna.
“Secara keseluruhan, penganjuran kursus ini bukan sahaja dapat meneruskan legasi pembuatan kuih tradisional.
“Malah, ia juga dapat dijadikan sebagai ilmu yang boleh menjadi punca pendapatan sampingan kepada masyarakat setempat khususnya golongan wanita,” katanya.

Tambahnya, kelas tersebut dirangka bagi memberi penekanan kepada teknik asas yang betul.
“Ramai yang boleh buat, tetapi tidak ramai yang tahu teknik untuk mendapatkan tekstur lembut dan lapisan yang cantik.
“Sepanjang sesi berlangsung, peserta didedahkan dengan penyediaan bahan, sukatan yang tepat serta teknik mengadun adunan agar tidak berketul.
“Mereka turut diajar cara memasak adunan di atas api sebelum proses pengukusan dilakukan.
“Selain itu, teknik mengukus yang betul turut menjadi fokus utama. Peserta diajar tentang kawalan suhu dan tempoh masa bagi memastikan setiap lapisan kuih masak sekata dan tidak berair,” katanya.
Menariknya, kelas ini turut menekankan aspek estetika kuih talam yang mana peserta diberi panduan untuk menghasilkan lapisan hijau dan putih yang jelas serta permukaan kuih yang licin.
Berkongsi pengalaman, Nurul Aisyah Mahad, 32, berkata, dia menyertai kelas tersebut kerana ingin menambah kemahiran dalam bidang pembuatan kuih tradisional.
“Selama ini saya cuba buat sendiri, tetapi hasilnya kurang menjadi.
“Bila saya ikut kelas ini, barulah faham di mana silapnya saya selama ini,” katanya.
Menurutnya lagi, teknik mengawal api dan konsistensi adunan merupakan perkara paling penting yang dipelajarinya.
Seorang lagi peserta, Mihzah Firdaus, 40, pula melihat kelas ini sebagai peluang untuk menjana pendapatan sampingan kelak.
“Saya bercadang untuk jual kuih talam secara kecil-kecilan di tempat saya tinggal kelak.
“Ilmu yang saya dapat ketika kelas ini sangat membantu. Penerangan yang diberikan mudah difahami walaupun saya tidak mempunyai asas dalam pembuatan kuih khususnya talam,” katanya.
Kongsinya, sepanjang kelas berlangsung, para peserta turut berpeluang bertanya secara terus kepada tenaga pengajar sekiranya menghadapi kesukaran.
Setiap peserta juga diberikan peluang untuk menghasilkan kuih talam mereka sendiri dari awal hingga selesai sekali gus memberi pengalaman praktikal yang lebih berkesan.
Secara keseluruhannya, program tersebut bukan sahaja mengajar teknik memasak, tetapi turut menyemai minat serta menghargai warisan kulinari tempatan dalam kalangan generasi hari ini.
















