JAKARTA – Gabenor Kalimantan Timur, Rudy Mas’ud membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dikecam berhubung peruntukan bajet 25 bilion rupiah (RM5.7 juta) untuk pengubahsuaian kediaman rasminya, lapor portal berita Jakarta Globe.
Beliau menerima kecaman orang ramai susulan rancangan untuk membeli kerusi urut dan membina akuarium air masin menggunakan dana kerajaan wilayah.
Dalam rakaman video dikongsi di platform Instagram, Rudy berkata, projek pengubahsuaian itu akan diteruskan kerana mendapat kelulusan daripada penyandang jawatan sebelumnya.
Beliau menegaskan bahawa pembelian barangan yang mencetuskan kontroversi seperti kerusi urut dan akuarium akan dibayar menggunakan wang sendiri.
“Sebagai gabenor, saya memahami kebimbangan orang ramai terhadap dasar dan kemudahan awam. Kritikan yang kuat mencerminkan keprihatinan orang ramai terhadap wilayah yang kita sayangi,” kata Rudy.
Beliau juga berjanji untuk menanggung perbelanjaan yang tidak berkaitan dengan fungsi rasmi kerajaan.
“Saya tidak akan mencari alasan kerana ini adalah tanggungjawab saya. Saya sendiri akan menanggung kos barangan pengubahsuaian di luar keperluan rasmi termasuk kerusi urut dan akuarium air masin,” tambahnya. – AGENSI














