KUANTAN – Seorang pegawai kanan polis ditahan selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM64,000 sebagai balasan melindungi kegiatan pusat hiburan tidak sah di sebuah daerah di negeri ini.
Perintah reman selama lima hari sehingga 2 Mei terhadap suspek tersebut dibenarkan Majistret Ellyna Mahussin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an ditahan di rumahnya pada pukul 2 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara 2020 dan 2023 ketika bertugas di sebuah daerah di negeri ini.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan daripada dua pemilik pusat hiburan secaca pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














