KOTA TINGGI – Hasrat 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk bekerja di Malaysia tidak kesampaian apabila ditahan sebaik mendarat secara haram di Sungai Rengit, di sini semalam.
Dalam operasi pada pukul 11.45 malam hingga 4 pagi itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan anggota Tentera Rejimen Ke-10 Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Majidee menyerbu sebuah rumah yang dijadikan lokasi transit PATI tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, hasil pemantauan mendapati kesemua mereka dipercayai baru tiba di negara ini.
“Seramai 10 lelaki dan seorang wanita Indonesia ditahan. Pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kita turut memberkas dua lelaki Indonesia dan seorang lelaki tempatan di dua lokasi berasingan dipercayai dalang dalam membantu kemasukan migran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yusof, kesemua suspek yang berusia 36 hingga 38 tahun bersama barangan rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-KOSMO! ONLINE














