ALOR GAJAH – Tiga lelaki maut selepas kereta jenis Honda City yang dinaiki hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori di Jalan Felda Hutan Percha di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, seorang penumpang berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, ketika kejadian Honda City berkenaan dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke Segamat, Johor sebelum dipercayai hilang kawalan.
“Kereta itu telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori rigid yang datang dari arah Tebong menghala ke Cheng.
“Pemandu kereta berusia 23 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 24 tahun turut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka hari ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, seorang lagi penumpang kereta berusia 23 tahun masih menerima rawatan di Hospital Melaka.
“Jumlah keseluruhan mangsa yang maut adalah seramai tiga orang, manakala tiga lagi mengalami kecederaan,” ujarnya yang turut menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di lokasi diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.-KOSMO! ONLINE.














