PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai individu yang memahami bahawa pangkat dan jawatan hanyalah amanah bersifat sementara.
Menerusi satu hantaran di laman media sosial, beliau berkata, perkara itu menjadi kekuatan kepada Aminuddin dalam berhadapan situasi semasa.
Menurutnya, dia tidak mengetahui secara terperinci isu yang berlaku di Negeri Sembilan, namun tetap mendoakan yang terbaik buat pemimpin berkenaan.
“Saya tak tahu menahu tentang apa yang berlaku di N9. Beliau adalah seperti abang saya, isterinya seperti kakak kepada isteri saya.
“Saya hanya boleh berdoa dari jauh seperti seorang adik kepada abangnya.,” katanya.
Tambahnya, dia juga sempat menghubungi Aminuddin dalam pukul 10 pagi tadi dan mendapati Menteri Besar itu berada dalam keadaan baik serta ceria, malah sedang meneruskan rutin lawatan ke beberapa sekolah.
Hantaran tersebut dimuat naik susulan situasi semasa ketegangan politik di Negeri Sembilan menjadi perhatian apabila 14 ADUN UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Untuk rekod, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan PH dan BN sebelum ini menguasai 31 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri, manakala Perikatan Nasional (PN) memegang baki lima kerusi. – KOSMO! ONLINE













