ISLAMABAD/WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata Iran boleh menelefon jika mahu berunding untuk menamatkan perang dua bulan antara kedua-dua negara dan menegaskan bahawa Tehran tidak boleh memiliki senjata nuklear, lapor akhbar The Korea Times.
Harapan untuk menghidupkan semula usaha damai pudar kelmarin apabila Trump membatalkan lawatan ke Islamabad oleh utusannya Steve Witkoff dan Jared Kushner.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi pula berulang-alik dari negara pengantara Pakistan dan Oman semalam sebelum berlepas ke Russia untuk bertemu Presiden Vladimir Putin.
“Jika mereka (Iran) mahu bercakap, mereka boleh datang kepada kami, atau mereka boleh menghubungi kami. Anda tahu, ada (alat dinamakan) telefon. Kami ada talian yang baik dan selamat.
“Mereka tahu apa yang perlu ada dalam perjanjian ini. Ia sangat mudah: Mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear, jika tidak, tiada sebab untuk bertemu,” kata Trump kepada saluran berita Fox News.
Laman berita Axios semalam memetik seorang pegawai Amerika Syarikat sebagai berkata, Iran memberikan cadangan baharu kepada Washington melalui Pakistan mengenai pembukaan semula Selat Hormuz dan penamatan perang, dengan rundingan nuklear ditangguhkan ke kemudian.
Jabatan Negara dan White House belum mengeluarkan kenyataan balas tidak mengenai laporan itu. – AFP














