KETIKA ini, jemaah yang mendapat peluang untuk mengerjakan ibadah haji pasti sedang sibuk membuat persiapan untuk menunaikan rukun Islam kelima.
Sebelum mengerjakan ibadah haji, jemaah juga sudah semestinya telah pergi mengikuti kursus asas haji yang akan menjadi panduan ketika berada di Tanah Suci.
Namun begitu, tidak semua yang dipelajari akan diingati, terkadang jemaah mungkin terlupa dan terkeliru sehingga membuat carian di aplikasi umum untuk mendapatkan jawapan bagi sebarang persoalan yang timbul.
Untuk itu, bagi memudahkan urusan jemaah mengerjakan ibadah haji dengan lancar, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman mengambil inisiatif untuk membangunkan aplikasi MyHajiUmrah.
Menurutnya yang merupakan pengasas aplikasi tersebut, MyHajiUmrah adalah aplikasi carian umum AI Chat yang membolehkan pengguna mendapat sebarang jawapan daripada sumber rasmi.
Jelasnya, aplikasi ini akan membantu jemaah haji dan umrah mendapatkan panduan ibadah secara lebih cepat, tepat dan mudah.
“Berbeza dengan aplikasi lain yang memberikan jawapan daripada pelbagai sumber yang tidak boleh diketahui dan disemak.
“Namun, aplikasi yang kita bangunkan ini akan menjawab soalan berasaskan rujukan rasmi sahaja untuk sebarang persoalan berkaitan haji dan umrah.
“Sumber rujukan kita ada dua kumpulan iaitu daripada sumber-sumber rasmi fatwa dan resolusi rasmi sahaja, contohnya sumber kita adalah daripada Muzakarah Haji Kebangsaan dan fatwa dari negeri-negeri,” katanya.
Tambahnya, selain itu aplikasi ini juga boleh digunakan oleh jemaah daripada pelbagai negara kerana turut disertakan sumber rujukan daripada fatwa-fatwa dan resolusi rasmi daripada badan antarabangsa seperti Kesatuan Ulama Antarabangsa, Jordan, Arab Saudi dan banyak lagi.
Melalui aplikasi ini, pengguna juga boleh memilih rujukan berdasarkan negara atau institusi tertentu yang mereka mahukan dan jawapan akan diberi mengikut autoriti yang dipilih.
Pendekatan ini dilihat dapat meningkatkan ketelusan dan konsistensi dalam menjawab persoalan hukum hakam ibadah berkaitan haji dan umrah.
Selain itu, aplikasi ini turut menyokong pelbagai bahasa utama dunia termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Cina, Sepanyol dan Jerman.
Jawapan akan diberikan secara automatik mengikut bahasa yang digunakan oleh pengguna, sekali gus menjadikannya platform inklusif untuk pengguna antarabangsa.
Zaharuddin menjelaskan, antara keperluan utama pembangunan aplikasi ini adalah untuk membantu jemaah yang berdepan situasi kritikal ketika ibadah seperti kekeliruan dalam pelaksanaan rukun haji, persoalan hukum seperti rambut gugur dalam ihram atau keadaan jemaah yang tersesat dan memerlukan panduan segera.
“Dalam situasi sebegini, mutawif tidak sentiasa dapat dihubungi kerana jumlah jemaah yang ramai, menyebabkan wujud keperluan kepada sistem sokongan digital masa nyata.
“Kadang-kadang jemaah berada dalam keadaan panik atau terlupa langkah seterusnya dan aplikasi ini membantu memberi panduan segera berdasarkan sumber sahih,” jelasnya.
Selain itu, ciri menarik yang ada pada aplikasi ini adalah ia dilengkapi dengan penjanaan infografik daripada jawapan yang diperolehi.
Setiap jawapan boleh ditukar kepada infografik dan kemudian boleh dimuat turun dan berkongsi dengan jemaah lain sebagai satu bentuk sumber rujukan.
Pada masa yang sama, aplikasi ini bukan sahaja berfungsi sebagai sumber carian umum tetapi turut menyokong input gambar dan dokumen.
Pengguna boleh memuat naik gambar seperti pakaian ihram atau nota bertulis untuk mendapatkan pandangan hukum atau penjelasan berkaitan.
Sistem akan menganalisis dan memberi pandangan kesesuaian menurut syarat ihram atau isu fiqh berkaitan.
Ini akan mempercepatkan pemahaman dan dan memudahkan pengguna untuk membuat keputusan ketika di lapangan.
Aplikasi ini boleh digunakan melalui tiga platform utama iaitu web serta peranti mudah alih di iOS dan Android.
Pengguna hanya perlu mendaftar menggunakan e-mel dan nama sebelum boleh terus mengakses sistem aplikasi tersebut.
Selain itu, aplikasi ini juga menggunakan sistem kredit iaitu dengan 15 kredit, pengguna boleh bertanya maksimum sehingga 10 soalan beserta jawapan.
Setelah kredit habis digunakan, pengguna boleh membuat tambah nilai (top-up) berdasarkan nilai-nilai pakej yang disediakan. Sistem kredit ini diperkenalkan bagi memastikan penggunaan aplikasi lebih tertumpu kepada keperluan untuk bertanya soalan berkaitan haji dan umrah.














