KUALA LUMPUR – Pelumba negara, Hakim Danish Ramli terus memperagakan aksi konsisten di pentas Moto3 apabila berjaya menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol 2026 dalam kelompok pungutan mata di Liar Jerez, sebentar tadi.
Hakim Danish yang bersaing bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu, Hakim Danish menamatkan perlumbaan sengit itu di kedudukan ke-13 dengan catatan masa 33 minit 36.140 saat.
Keputusan tersebut menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu hanya ketinggalan 12.584s di belakang juara perlumbaan dari Sepanyol, Maximo Quiles yang mewakili pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team.
Bermula dari petak ke-10 grid, Hakim Danish mempamerkan tunggangan agresif pada awal perlumbaan apabila berjaya memintas beberapa pelumba untuk berada di kedudukan kelapan menjelang pusingan kedua.
Bagaimanapun, persaingan sengit dalam kelompok pertengahan menyaksikan kedudukannya sedikit terjejas apabila jatuh ke tangga ke-11 pada pusingan keempat sebelum terus merosot ke kedudukan ke-14 pada pusingan ketujuh.
Enggan menyerah kalah, pelumba harapan negara itu kembali menemui rentak pada baki empat pusingan terakhir untuk memperbaiki kedudukan ke tangga ke-13 sebelum mengekalkan posisi tersebut hingga garisan penamat.
Kejayaan membawa pulang tiga mata dari Jerez membolehkan Hakim Danish mengumpul keseluruhan 12 mata musim ini sekali gus meletakkannya di kedudukan ke-15 dalam carta keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3.
“Dalam perlumbaan tadi, saya agak bergelut di selekoh berkelajuan tinggi dan banyak kehilangan masa di bahagian itu. Saya perlu memperbaiki tunggangan terutama di beberapa selekoh laju tersebut.
“Saya juga sempat berada di kedudukan kelapan, namun selepas itu dipintas semula oleh beberapa pelumba lain. Kelajuan kelompok hadapan memang sangat kuat dan saya agak bergelut untuk mengekori rentak mereka.
“Bagaimanapun, saya tidak berputus asa dan terus cuba mengejar pelumba di hadapan. Mengenai pemilihan tayar, saya rasa pilihan yang dibuat agak baik dan hampir sama dengan pelumba lain.
“Untuk pelarasan jentera pula, saya rasa masih ada ruang yang boleh dipertingkatkan lagi. Dari segi tekanan, saya tidak berdepan sebarang masalah,” katanya.
Dalam perlumbaan sama, rakan sepasukannya dari Jepun, Ryusei Yamanaka sekadar berpuas hati menamatkan saingan di tempat ke-17.
Sementara itu, podium GP Sepanyol didominasi pelumba tuan rumah apabila Adrian Fernandez dari pasukan Leopard Racing menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala David Munoz daripada Liqui Moly Dynavolt Intact GP melengkapkan podium di kedudukan ketiga.
Fokus Hakim Danish kini terarah kepada persiapan menghadapi Grand Prix (GP) Perancis di Bugatti Circuit yang dijadual berlangsung dari 8 hingga 10 Mei depan. -KOSMO! ONLINE














