HARARE – Seekor buaya Sungai Nil menyebabkan tetamu sebuah hotel mewah dekat Air Terjun Victoria berada dalam ketakutan apabila reptilia itu memanjat kaunter bufet dalam perjalanan ke dapur, lapor saluran berita GB.
Pemangsa sepanjang 4 meter itu muncul dari Sungai Zambezi dan memasuki hotel empat bintang, A’zambezi River Lodge di Zimbabwe, baru-baru ini.
Selepas gagal masuk ke dapur, tetamu tidak diundang itu memanjat kaunter bufet.
Tetamu hotel yang terkejut merakam video dan gambar kejadian luar biasa itu.
Insiden itu menarik perhatian kakitangan hotel yang berusaha untuk memastikan pelancong berada pada jarak selamat.
Pelancong Britain dari Portsmouth, John Richards berkata, buaya itu merangkak masuk ‘seolah-olah ia adalah tetamu hotel’.
“Pelayan memberitahu kami buaya ini merangkak masuk seperti tetamu yang membayar dan apabila tidak mendapat meja, buaya ini a bertanya di kaunter dan mendapati tiada sesiapa di sana. Reptilia ini cuba memanjatnya untuk masuk ke dalam dapur,” kata Richards
Buaya Nil adalah antara pemangsa yang paling berbahaya di Benua Afrika.
Reptilia itu boleh mencapai panjang 6 meter dan berat sehingga satu tan. Buaya itu boleh memecut pada kelajuan menghampiri 33 kilometer sejam.
Haiwan menakutkan itu bertanggungjawab ke atas kira-kira 1,100 kematian manusia setiap tahun di seluruh rantau Afrika. – AGENSI .














