fbpx
ISUZU D-MAX 2026 tampil lebih garang dengan gril hadapan baharu rekaan lebih tebal.

Isuzu D-Max 2026 trak pikap rasional diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM suasana ekonomi global dan harga bahan api yang tidak menentu ketika ini, pemilihan kenderaan bukan lagi sekadar memenuhi keperluan mobiliti sebaliknya dilihat dari segi kecekapan, ketahanan dan nilai jangka panjang.

Isuzu D-Max 2026 yang dilancarkan pada akhir bulan Mac lalu hadir sebagai sebuah trak pikap yang menawarkan keseimbangan prestasi dan praktikaliti sekali gus menjadikannya antara pilihan paling rasional dalam pasaran semasa.

Antara kekuatan utama model ini terletak pada enjin diesel 2.2 liter turbocas diesel generasi baharu yang dibangunkan dengan penekanan terhadap kecekapan penggunaan bahan api.

Kehadiran nadi kuasa baharu ini bukan sekadar pengganti kepada enjin 1.9 liter turbodiesel sebelum ini, malah membawa peningkatan menyeluruh dan unit janaan 3 liter diesel masih dikekalkan untuk tiga varian.

Keupayaan enjin ini menawarkan penggunaan diesel yang lebih rendah menjadi satu kelebihan besar khususnya kepada pengguna yang menggunakan trak pikap untuk tujuan harian atau komersial.

Terdapat keseluruhan sembilan varian yang ditawarkan untuk Isuzu D-Max 2026 iaitu enam model D-Max 2.2 Liter 4×4 MT (Single Cab RM103,121), D-Max 2.2 Liter 4×4 AT (Single Cab RM109,121), D-Max 2.2 Liter 4×4 MT (Single Cab RM103,121), D-Max 2.2 Liter 4×4 MT Standard (Double Cab RM114,271), D-Max 2.2 Liter 4×2 Auto Plus (Double Cab RM114,671), D-Max 2.2 Liter 4×4 Standard (Double Cab RM122,171) dan D-Max 2.2 Liter 4×4 AT Premium (Double Cab RM141,821).

Seterusnya, D-Max 3.0 Liter 4×4 MT (Single Cab RM108,888), D-Max 3.0 Liter 4×4 AT Premium (Double Cab RM145,138) dan D-Max 3.0 Liter 4×4 AT X-Terrain (Double Cab RM162,938).
Single Cab merujuk kepada dua pintu, manakala Double Cab empat pintu.

Rekaan belakangnya yang menonjolkan imej moden.

Dari sudut prestasi, enjin 2.2 liternya mampu menjana sehingga 163hp pada 3,600rpm iaitu peningkatan sebanyak 8.7 peratus berbanding sebelumnya.

Tork maksimum pula mencecah 400Nm antara 1,600 hingga 2,400rpm meningkat 14.3 peratus, sekali gus memberikan daya tarikan yang lebih mantap terutama ketika membawa beban atau memandu di laluan mencabar.

Bagi melengkapkan prestasi tersebut, model ini turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan baharu yang dilengkapi fungsi sequential shift.

Enjin 2.2 liter baharu ini memberikan penjimatan dan lebih cekap sekitar 5.2 peratus.

Berdasarkan ujian penggunaan nyata Isuzu di Malaysia, kadar penggunaan bahan yang dicapai bagi enjin ini adalah 15.78km per liter berbanding enjin 1.9 liter 14.99km per liter dengan jarak purata boleh dicapai 1,352km bagi satu tangki penuh.

Isuzu turut mencipta sejarah tersendiri dengan memperkenalkan Single Cab automatik pertama di Malaysia yang berkongsi trasmisi lapan kelajuan sama seperti varian lain.

Penawaran ini dijangka memberi nilai tambah kepada pengguna komersial yang mahukan keselesaan tanpa mengorbankan keupayaan prestasi.

Aspek rekaan turut diberi penambahbaikan pada model terkini Isuzu D-Max 2026 bagi memastikan ia kekal relevan dalam segmen trak pikap yang semakin kompetitif.

Di bahagian hadapan, D-Max 2026 menerima gril baharu dengan rekaan lebih tebal dan agresif memberikan penampilan lebih garang di jalan raya.

Ia dipadankan dengan lampu hadapan LED yang telah dikemas kini menampilkan grafik pencahayaan lebih tajam serta meningkatkan lagi imej moden keseluruhan kenderaan.

D-Max 2026 diperkemas lagi dengan rim aloi rekaan baharu saiz 16 hingga 18 inci bergantung kepada varian.

Selain itu, elemen praktikaliti seperti papan pemijak dua tona bukan sahaja menambah gaya, malah memudahkan akses keluar masuk ke dalam kabin bagi kenderaan bertubuh tinggi seperti ini.

Di bahagian kabin, susun atur papan pemukanya berkemasan material lebih berkualiti dilengkapkan dengan skrin infotaiment bersaiz sehingga 10 inci.

Kesimpulannya, Isuzu D-Max 2026 bukan sekadar trak pikap yang menawarkan prestasi dan ketahanan, tetapi satu solusi mobiliti yang praktikal dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

Dari perspektif masa depan, aspek mesra alam yang diterapkan melalui enjin lebih bersih menjadikan model ini bersedia menghadapi sebarang perubahan polisi berkaitan alam sekitar atau bahan api.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN