LIPIS – Kerajaan Negeri Pahang tetap meneruskan laporan polis terhadap individu yang didakwa memfitnah program bantuan Bakti Negeri Pahang (BN Pahang) dengan menuduh peruntukan RM15,000 seminggu kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai tindakan merampas hasil negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tuduhan tersebut adalah serius kerana memberi gambaran seolah-olah bantuan yang disalurkan kerajaan negeri tidak sampai kepada rakyat yang memerlukan.
“Apabila kerajaan negeri mengumumkan bantuan bakul makanan negeri yang kita panggil Bakti Negeri Pahang ataupun BN Pahang, beliau telah mengeluarkan satu posting (hantaran) di Facebook yang mengatakan wang sejumlah RM15,000 ini dijarah oleh DUN dan penyelaras DUN.
“Jadi ini untuk nak menunjukkan (seolah-olah) pada pengamatan saya memberitahu bahawa apa yang kerajaan negeri buat ini adalah tidak sampai kepada rakyat,” katanya pada Majlis Perasmian Program Apresiasi Pahang 1st ‘Lipis Bertanjak’ di Dewan Residen Lipis di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan membuat laporan polis kerana dakwaan tersebut melibatkan tuduhan berat iaitu ‘menjarah duit rakyat’ .
Tambah Wan Rosdy, biarpun hantaran tersebut telah dipadam dan individu tersebut telah memohon maaf namun ia tidak menghalang tindakan lanjut kerana kerajaan negeri tidak mahu budaya membuat fitnah terlebih dahulu sebelum meminta maaf menjadi kebiasaan.
Tambah beliau, sebagai ahli politik, pelbagai kritikan boleh diterima namun tuduhan penyelewengan wang rakyat tidak boleh dipandang ringan. – KOSMO! ONLINE














