JABATAN Perangkaan baru-baru ini menerbitkan data Indeks Harga Pengguna (IHP), Mac 2026 yang mengukur kadar inflasi di Malaysia.
Mac lalu, inflasi negara meningkat sederhana sebanyak 1.7 peratus, lebih tinggi berbanding 1.4 peratus berbanding Februari 2026.
Pada masa sama, ia masih lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (4.7 peratus), Filipina (4.1 peratus) dan Indonesia (3.5 peratus), dalam suasana Krisis Tenaga Global yang bermula pada 28 Februari 2026 serta berlarutan sehingga kini.
Melihat angka rasmi inflasi 1.7 peratus ini, mungkin ramai yang hairan kenapa ia kekal rendah, sedangkan harga barang dirasakan seperti banyak meningkat.
Perbezaan antara ukuran inflasi dalam statistik rasmi berbanding dengan pengalaman harian orang ramai ini cuba dijawab oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2025 yang diterbitkan bulan lalu.
Dalam rencana bertajuk Di Sebalik Angka Rasmi: Inflasi dari Perspektif Isi Rumah, BNM berkata, inflasi lazimnya dilihat melalui perspektif yang mencerminkan pengalaman atau pandangan peribadi, seperti harga sayur atau makanan harian seperti nasi lemak.
Jelasnya, bukti daripada seluruh dunia, termasuk Malaysia, menunjukkan masyarakat sering beranggapan bahawa kadar inflasi adalah lebih tinggi daripada angka rasmi yang dilaporkan.
“Keadaan ini lebih ketara selepas tempoh kenaikan harga yang mendadak, seperti yang berlaku selepas pandemik. Hal ini wajar kerana isi rumah merasai perubahan harga tersebut secara langsung dalam perbelanjaan harian mereka.
“Kenaikan harga cenderung meninggalkan kesan yang lebih mendalam dan berkekalan berbanding penurunan harga, meskipun kedua-duanya berlaku,” katanya.
Tambah BNM, inflasi sebenarnya mengukur kepantasan kenaikan harga yang berlaku, dan bukannya betapa tinggi tahap harga tersebut.
“Banyak orang menilai inflasi dengan membandingkan harga pada hari ini dengan harga dahulu.
“Apabila perbelanjaan harian dirasakan tinggi, masyarakat berharap supaya harga dapat kembali ke tahap biasa sebelumnya,” katanya.
Dalam masa sama, sukar dinafikan apabila rata-rata rakyat merasakan harga barang di negara ini banyak meningkat berbanding sebelumnya.
Dari 2019 hingga 2024, IHP keseluruhan meningkat 9.3 peratus, manakala upah nominal bagi setiap pekerja hanya meningkat 7.2 peratus.
Keadaan ini menyebabkan apabila harga lampau menjadi rujukan, isi rumah akan merasakan kuasa beli mereka semakin lemah berbanding dahulu, yang sering kali dikaitkan dengan lonjakan harga barang.
Justeru, fokus utama kerajaan hari ini mungkin bukan untuk mengawal kenaikan kos sara hidup yang berlaku secara relatifnya perlahan, sebaliknya bagaimana menangani punca kelembapan pertumbuhan pendapatan di Malaysia.














