fbpx
Dua suspek berjaya ditahan polis dalam kejadian tembakan di Jalan Telawi, Bangsar, semalam. Foto oleh MOHD FAHMI ISMAIL/KOSMO!

Kes tembak di Bangsar disyaki bermotif dendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki tempatan kurang 24 jam selepas kejadian tembakan di Jalan Telawi, Bangsar, yang menyebabkan seorang lelaki cedera, awal pagi Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan pergaduhan melibatkan dua kumpulan di luar sebuah pusat hiburan kira-kira pukul 3 pagi sebelum beberapa das tembakan dilepaskan.

“Akibat kejadian itu, seorang lelaki tempatan cedera di bahagian perut dan kini dalam keadaan stabil serta masih menerima rawatan di hospital.

“Hasil risikan JSJ melalui Bahagian D7 dan D8 membawa kepada serbuan di sebuah hotel di Klang kira-kira pukul 1 pagi, 22 April, yang membawa kepada penahanan dua suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman,di sini
hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui sepucuk pistol bersama peluru serta satu objek menyerupai pistol dipercayai tiruan, manakala kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Katanya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada dendam lama dan perebutan kawasan, selain tidak menolak penglibatan kumpulan terlibat dalam jenayah terancang.

“Kedua-dua suspek kini direman bermula 23 sehingga 29 April ini bagi membantu siasatan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian melepaskan tembakan di Jalan Telawi, Bangsar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilapor berkata, kedua-dua suspek berumur 27 dan 33 tahun itu ditahan di kawasan Klang, Selangor kira-kira pukul 11.45 malam pada hari sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN