fbpx
Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut. Foto IHSAN JIM

45 ditahan, imigresen gempur majikan degil guna PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menggempur lapan lokasi di sekitar Selangor, semalam dalam operasi bersepadu bagi membanteras majikan yang masih berdegil menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

Operasi bermula pukul 11 pagi itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya membabitkan premis di Semenyih, Jenjarom, Seri Kembangan, Cheras dan Serdang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 52 pegawai digerakkan dalam operasi hasil risikan selama dua minggu susulan aduan awam.

“Hasil pemeriksaan ke atas 88 individu, terdiri daripada 66 warga asing dan 22 warga tempatan, seramai 45 warga asing berusia antara 29 hingga 50 tahun ditahan.

“Mereka melibatkan warga Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Sembilan saman kepada saksi (Borang 29) turut dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada warga asing yang melakukan kesalahan, malah turut menyasarkan majikan yang berdegil, cuai atau sengaja menggaji PATI,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN