fbpx
CHEF WAN yang merupakan bekas pesakit kanser limfoma dan pernah menjaga arwah ibunya yang menghidap kanser ‘dipinang’ oleh Persatuan Keluarga Max Malaysia di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menjadi duta kempen kesedaran kanser kepada masyarakat.

Makin pulih daripada kanser, Chef Wan dipinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM adat Melayu, kebiasaannya majlis meminang diadakan sebagai satu tanda persetujuan untuk dua keluarga mengikat tali pertunangan untuk kedua pasangan yang ingin berkahwin.

Namun, baru-baru ini bertempat di De.Wan 1958 by Chef Wan di Bangsar, Kuala Lumpur meriah dengan satu majlis meminang. Majis tersebut diadakan bukanlah untuk mengikat tali pertunangan antara dua pasangan.

Sebaliknya, majlis meminang itu diadakan sebagai tanda untuk melantik Cef Selebriti Malaysia, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, 68, menjadi duta bagi kempen 20 Years of Hope: Masih Di Sini yang dianjurkan oleh Persatuan Keluarga Max Malaysia atau lebih dikenali sebagai Max Family Society Malaysia dengan sokongan daripada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

Inisiatif ini mencerminkan ekosistem sokongan yang lebih meluas untuk pesakit, di mana organisasi seperti The Max Foundation memberi tumpuan pada peningkatan akses kepada rawatan di seluruh dunia, manakala rakan kongsi tempatan seperti Max Family Society Malaysia menangani keperluan peringkat komuniti.

Perlantikan ini berlaku sejurus perbincangan dan persetujuan antara pihak Max Family Society Malaysia dan juga Chef Wan di dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kanser darah.

Ia juga bertujuan untuk lebih memahami pengalaman pesakit-pesakit kanser darah, keluarga terdekat serta pegawai perubatan dan kesihatan yang terlibat.

Oleh itu, satu majlis meminang telah diadakan oleh Max Family Society Malaysia baru-baru ini bagi merasmikan penyatuan di antara Chef Wan dan Max Family Society Malaysia.

Max Family Society Malaysia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan platform kepada pesakit dan keluarga mereka mendapatkan sokongan informasi, emosi dan aspek psikososial, inisiatif kesedaran perubatan dan aktiviti pengumpulan dana yang digerakkan oleh komuniti terutamanya di daerah-daerah Lembah Klang.

Presiden Max Family Society Malaysia, Dr. Abd, Razak Muhamad berkata, beliau sangat berbesar hati dengan kesudian dari pihak Chef Wan untuk menerima lamaran untuk menjadikannya sebagai duta kempen dan juga sama-sama terlibat dengan kempen kesedaran yang dianjurkan mereka.

Menurutnya, antara perancangan mereka di Max Family Society Malaysia adalah untuk menjalankan kempen kutipan dana melalui sebuah Konsert Amal untuk kami bantu lebih ramai pesakit dan juga keluarga pesakit kanser darah terutamanya yang terkesan secara emosi dan juga ekonomi.

“Saya sebagai seorang bekas pesakit kanser, pernah merasa peritnya kesan dan akibat kanser darah ini dan kami berharap agar kempen ini mendapat sokongan orang ramai.

“Kita cuba jayakan sebaik mungkin bersama dengan bantuan Chef Wan sebagai seorang bekas pesakit kanser yang kini sedang semakin beransur pulih,” katanya.

Tambahnya, mereka berharap inisiatif ini dapat meletakkan nama persatuan sebagai satu pertubuhan bukan kerajaan yang sentiasa menjadi tunggak harapan kepada pesakit, keluarga dan semua pihak kesihatan yang terlibat dalam menangani penyakit kanser khasnya kanser darah.

Kehadiran Chef Wan sebagai seorang yang telah bebas kanser dan juga sebagai seorang yang pernah melalui suka duka penat lelah menjaga arwah ibu tersayang yang juga seorang pesakit kanser dengan penuh dedikasi sedikit sebanyak dapat membantu Max Family Society Malaysia dalam memberi sokongan yang lebih padu kepada komuniti di luar sana.

Bukan itu sahaja, malah Chef Wan telah pun mula memberi sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Max Family Society pada hari pelantikan beliau sebagai tanda sokongan yang penuh ikhlas dan tidak berbelah bahagi kepada pesakit dan keluarga mereka yang memerlukan.

Inisiatif ini juga telah memberi galakan kepada beberapa pihak lagi untuk turut memberi sumbangan kepada komuniti ini.

Chef Wan berkata, beliau sendiri adalah bekas pesakit kanser dan ini merupakan masa untuknya cuba apa yang termampu untuk salurkan semula bantuan kepada masyarakat.

“Jujurnya, melalui fasa pemulihan itu agak sukar tetapi masa inilah kita perlukan sokongan bukan sahaja dari ahli keluarga, malah kawan-kawan terdekat juga.

“Sokongan emosi itu penting bila kita sakit dan mudah rapuh dan ini antara sebab saya sendiri menyokong usaha yang dibawa oleh Max Family Society Malaysia ini sebab ia bukan sahaja bagi sokongan pada pesakit, malah pada ahli keluarga juga,” ujarnya yang yang kini semakin sihat dan pulih daripada kanser limfoma yang juga sejenis kanser darah.

Dalam pada itu, kempen 20 Years of Hope: Masih Di Sini yang akan diadakan itu bakal menggabungkan muzik, perkongsian pengalaman, perkhidmatan konsultasi dan pelbagai aktiviti kesedaran kesihatan yang akan diadakan bermula April sehingga hujung tahun ini.

Sebagai kemuncak kempen, Max Family Society Malaysia akan menganjurkan sebuah konsert amal pada September ini dan dana yang terkumpul akan terus ke Max Family Society Malaysia bagi disalurkan kepada komuniti-komuniti yang memerlukan.

Konsert ini disokong dan akan dimeriahkan oleh barisan artis tempatan yang juga mempunyai kisah yang tersendiri mengenai kanser.

Dengan wujudnya kempen ini secara berperingkat, Max Family Society Malaysia berharap usaha murni ini akan menyumbang ke arah kesedaran masyarakat Malaysia tentang kanser darah.

Walaupun kesedaran dan sokongan komuniti kekal penting, akses kepada rawatan terus menjadi salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh pesakit kanser di seluruh dunia.

Usaha seperti ini melengkapi misi global organisasi seperti The Max Foundation yang berusaha untuk mempercepatkan akses kepada rawatan yang dapat menyelamatkan nyawa, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN