KUALA LUMPUR – Jawatan yang disandang penjawat awam bukan satu keistimewaan untuk dibanggakan, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti
Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, integriti tidak boleh dilihat sekadar pematuhan peraturan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kejujuran, ketelusan serta keikhlasan dalam melaksanakan tugas harian.
“Setiap keputusan yang dibuat memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan masa depan negara,” katanya semasa merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun ke-22 IIM di Auditorium Integriti, Menara Integriti, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengimbau kembali pelancaran Pelan Integriti Nasional pada 23 April 2004 oleh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi asas kepada penubuhan Institut Integriti Malaysia.
Katanya, penubuhan institut tersebut bukan sekadar simbolik, tetapi bertindak sebagai pemangkin nasional dalam menyelaras serta membudayakan integriti merentasi pelbagai sektor.
“Pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata tidak memadai tanpa pembangunan nilai, etika dan jiwa yang berteraskan integriti,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu salah guna kuasa, ketirisan dana awam dan kelemahan tadbir urus masih memberi implikasi besar kepada negara jika tidak ditangani secara menyeluruh.
Katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai reformasi termasuk memperkukuh tata kelola kewangan, menambah baik sistem perolehan serta memperluas pendigitalan bagi mengurangkan ruang ketirisan.
Tambahnya, pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Tadbir Urus (SPINE) serta Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) menjadi antara langkah penting dalam memperkasakan budaya integriti secara lebih tersusun.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 menunjukkan peningkatan daripada tangga ke-57 kepada ke-54, namun usaha berterusan masih diperlukan.
“Kita tidak boleh terlalu selesa. Sasaran untuk berada dalam kelompok 25 terbaik dunia memerlukan komitmen yang konsisten dan berani,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menyeru semua penjawat awam agar berani menegakkan kebenaran dan tidak berdiam diri terhadap sebarang penyelewengan. – KOSMO! ONLINE














