JOHOR BAHRU – Seorang sukarelawan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini ditahan selepas dipercayai meminta bayaran RM700 daripada seorang pesakit warga asing bagi urusan mendapatkan rawatan.
Wanita tempatan berusia 27 tahun itu diberkas pada pukul 7 malam semalam di kawasan hospital tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan ke atas wanita itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pihak hospital.
“Wanita itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut beliau, suspek dipercayai mengambil kesempatan ke atas buruh warga asing dengan mengenakan bayaran RM700. Beliau bagaimanapun menafikan suspek merupakan sukarelawan Southern Volunteer yang ditempatkan di HSA sejak tahun lalu.
Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kegiatan seorang wanita menyamar petugas hospital dan meminta bayaran RM30 daripada waris pesakit sebagai caj kemasukan wad.
Pihak HSA kemudian tampil menjelaskan individu tersebut bukan petugas hospital dan orang awam dinasihatkan supaya membuat bayaran di kaunter rasmi serta mendapatkan resit. – KOSMO! ONLINE














