fbpx
Hishamuddin (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat MHO, Megan Avenue, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

‘Tawaran kerja lumayan di negara kurang membangun, sesuatu tidak kena’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Golongan muda diingatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran kerja luar negara khususnya di Thailand, Kemboja, Laos dan Myanmar yang sering dikaitkan dengan kegiatan penipuan dan pemerdagangan manusia.

Setiausaha Agung Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan tawaran kerja tersebut tidak masuk akal terutama apabila menjanjikan gaji lumayan di negara yang kurang membangun berbanding Malaysia.

Menurutnya, tawaran pekerjaan sebegitu sepatutnya menimbulkan keraguan kerana Malaysia sendiri mempunyai peluang pekerjaan yang lebih stabil dan selamat untuk rakyat tempatan.
“Mana mungkin negara kita lebih membangun, tetapi tawaran kerja di negara kurang membangun pula lebih lumayan. Itu sudah menjadi petunjuk awal sesuatu tidak kena,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MHO, Megan Avenue, hari ini.

Beliau berkata, sindiket kini semakin licik apabila menggunakan kenalan sendiri atau rakan sekampung sebagai ejen perekrut bagi meyakinkan mangsa.

Katanya, pendekatan itu menyebabkan ramai mangsa terpedaya kerana wujud unsur kepercayaan dalam kalangan mereka tanpa menyedari risiko sebenar.

“Bila kawan sendiri yang ajak, ramai tak fikir panjang. Mereka percaya tanpa semak latar belakang kerja yang ditawarkan,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan tawaran kerja serta tidak mudah percaya dengan janji gaji tinggi tanpa maklumat jelas.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa sindiket tersebut.

“Lebih baik bekerja di Malaysia. Jangan ambil risiko ke negara yang kita tahu banyak kes melibatkan scam dan pemerdagangan manusia,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap ejen perekrut tempatan yang menjadi penghubung utama kepada sindiket antarabangsa.

“Tindakan terhadap ejen tempatan ini penting untuk memutuskan rantaian jenayah ini daripada terus berleluasa,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN