PETALING JAYA – Fenomena hujan lebat luar biasa yang melanda Lembah Klang semalam hingga mencetuskan banjir kilat di banyak kawasan dikenal pasti berpunca daripada keadaan atmosfera yang sangat lembap serta tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, situasi tersebut telah merangsang pembentukan awan ribut petir yang aktif, khususnya pada waktu petang hingga malam.
“Keadaan ini menghasilkan hujan berintensiti tinggi dalam tempoh yang singkat, sekali gus menyebabkan kejadian banjir kilat.
“Fenomena hujan lebat dan ribut petir dalam tempoh singkat itu adalah sesuatu yang kerap berlaku ketika fasa peralihan monsun yang telah bermula sejak 29 Mac lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd Hisham berkata, berdasarkan rekod pemantauan MetMalaysia, beberapa stesen di Lembah Klang mencatatkan taburan hujan harian yang tinggi, melebihi 20 milimeter (mm).
“Antara lokasi yang direkodkan ialah Petaling Jaya sebanyak 99.4 mm, Subang (62.0 mm), JAKOA Gombak (35.6 mm) dan Tennamaran Estate (26.8 mm).
“Malaysia kini sedang melalui fasa Peralihan Monsun yang dijangka berterusan sehingga awal Mei depan,” katanya.
Katanya, fasa ini lazimnya dikaitkan dengan peningkatan kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam tempoh singkat berikutan tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
“Ia melibatkan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, selain barat Sabah dan Sarawak terutama pada waktu petang dan awal malam,” katanya.
Mengulas mengenai jangkaan cuaca, beliau berkata, kejadian ribut petir yang membawa hujan lebat serta angin kencang dijangka masih berpotensi berlaku dalam beberapa hari akan datang.
“Keadaan ini kebiasaannya tertumpu pada waktu petang hingga malam di kebanyakan kawasan di barat Semenanjung dan Sarawak serta pedalaman Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Mereka disarankan untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca serta platform media sosial rasmi agensi itu.
“Sebarang pertanyaan juga boleh dibuat melalui talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














