TAPAH – Seorang penternak lembu sejak 13 tahun lalu mengeluh kerana permintaan terhadap haiwan ruminan itu termasuk dua ekor lembu sado miliknya merosot sehingga 30 peratus menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha bulan depan.
Menurut Abdul Latif Abd. Rashid, 43, kekurangan permintaan itu mungkin disebabkan ramai yang berjimat-cermat susulan konflik Asia Barat selain kenaikan harga diesel yang memberi kesan kepada kos pengangkutan dan kenaikan bahan lain seperti dedak dan jagung.
“Dulu ramai minat dengan lembu sado kerana harganya berpatutan selain dagingnya banyak, tetapi tahun ini dua ekor lembu sado jenis limosin dan brahman masing-masing berharga RM14,000 dan RM16,000 masih belum laku.
“Malah, permintaan lembu sempena raya korban tahun ini merosot 20 hingga 30 peratus. Hanya 12 ekor (terjual) setakat ini berbanding 15 ekor sebelum ini kebanyakan mereka adalah pelanggan tetap,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kurong di sini hari ini.
Menurut Abdul Latif, masih terdapat 30 ekor lembu dikandangnya yang memerlukan kos penjagaan yang tinggi setiap hari.
“Lori milik saya pun sudah lama tersadai dan tidak digunakan cuma pendekatan menjual secara terus kepada pelanggan sedikit sebanyak mengurangkan kos yang ditanggung.
“Pada awal Ramadan dan Aidilfitri lalu, saya menyembelih dua hingga tiga ekor lembu untuk dijual secara terus kepada pelanggan selain dibekalkan ke pasar baru dapat untung sedikit,” katanya.
Jelasnya, untung bersih seekor lembu dianggarkan RM500 selepas ditolak kos makanan, pengangkutan, penyembelihan, rumah sembelihan dan kos-kos lain.
Abdul Latif berharap lembu import dari Thailand dapat dikurangkan untuk kelangsungan penternak lembu tempatan. – KOSMO! ONLINE














