fbpx
Jegathesan (kiri) dan Halila hadir ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!

Pasangan buat aksi lucah di jirat cina dibebas awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pasangan tempatan yang sebelum ini dihukum penjara selama sebulan selepas mengaku melakukan perbuatan kelucahan terlampau di jirat Cina, Batu Gantung, Air Itam di sini dibebaskan awal oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan tersebut selepas membenarkan semakan hukuman jenayah yang dimohon pihak pembelaan, Datuk Naran Singh terhadap M. Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37.

Rofiah memutuskan bahawa sabitan bersalah terhadap kedua-dua tertuduh tersebut dikekalkan manakala hukuman penjara 12 bulan yang diputuskan oleh Majistret sebelum ini diganti dengan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 23 Mac 2026 sehingga hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar memaklumkan bahawa pihak pembelaan telah mengemukakan representasi kepada pendakwaan dan setuju sabitan dikekalkan dengan semakan tertumpu kepada hukuman.

Pada 26 Mac lalu, Kosmo! Online melaporkan pasangan yang tular itu dihukum penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mereka membuat pengakuan bersalah di Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah melakukan perbuatan kelucahan melampau di kawasan tanah perkuburan Cina yang merupakan satu tempat awam di Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung, Ayer Itam di sini, 22 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN