fbpx
FADHIL (duduk dua dari kanan) tidak menolak peluang untuk bekerjasama dengan Brooks.

Fadhil idam pecah rekod kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Zonis menggalas misi cukup besar menjelang pusingan akhir Kejohanan Berbasikal Pial Dunia Trek 2026 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan bermula 24 April ini.

Dia yang membentuk gandingan bersama Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohd. Akmal Nazimi Jusena meletakkan sasaran untuk memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara pecut berpasukan lelaki selepas melakukannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC).

Fadhil berkata, walaupun menamatkan saingan di tempat keempat pada saingan ACC sebelum ini, namun rekod kebangsaan yang dicipta dalam acara pecut berpasukan meningkatkan semangat trio berkenaan.

“Apa yang saya tahu, saya akan beraksi dalam acara pecut berpasukan dan saya harap untuk membawa prestasi yang ditampilkan pada ACC ke Piala Dunia nanti. Saya akan cuba yang terbaik untuk memecahkan rekod kebangsaan sekali lagi.

“Kita tunggu dan lihat kondisi pada perlumbaan itu nanti. Mungkin kita boleh melakukan kayuhan yang lebih laju atau memperbaiki lagi apa yang kita sudah capai sebelum ini,” kata pelumba berusia 29 tahun itu.

Pada ACC yang berlangsung di Tagaytay, Filipina bulan lalu, gandingan Fadhil, Ridwan dan Akmal melakukan catatan masa 48.086 saat (s) di pusingan pertama, sekali gus meleburkan catatan lama 48.458s yang dilakukan tahun lalu.

Sementara itu, Fadhil juga berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengeluar barangan sukan antarabangsa, Brooks pada masa akan datang selepas hadir sebagai jemputan pada majlis pembukaan cawangan baharu Brooks di Petaling Jaya baru-baru ini.

“Saya rasa teruja kerana Brooks merupakan antara jenama terbaik. Dijemput sebagai tetamu dalam majlis mereka, saya berterima kasih. Kaki saya juga sesuai dengan setiap kasut yang dikeluarkan Brooks.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, memang saya mahu berkolaborasi dengan mereka sebagai atlet. Memang saya menunggu untuk cuba produk mereka yang boleh membantu prestasi saya dalam trek ataupun gimnasium,” ujarnya.

Pada masa sama, dia juga menganggap Brooks menghasilkan produk yang setanding dengan jenama-jenama terkenal lain, terutamanya dalam pasaran sukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN