KOTA TINGGI – “Dia (suspek) pergi kedai di belakang dan minum. Dia cakap dia sudah tembak orang. Ketika itu tangannya berdarah.”
Demikian cerita seorang peniaga kedai makan berhubung kejadian tembakan yang meragut nyawa dua lelaki tempatan dan seorang wanita asing berusia 37 hingga 63 tahun di sebuah restoran di Kota Jaya di sini pada pukul 1.30 tengah hari semalam.
Wanita yang enggan dikenali itu berkata, tidak menyangka bunyi kuat yang disangka mercun rupa-rupanya kejadian tembakan yang mengorbankan tiga nyawa.
Katanya, suspek berusia 71 tahun yang ditahan dalam kejadian itu memang dikenali di kawasan ini dan merupakan pelanggan tetap di kedai mangsa.
“Ketika kejadian, secara kebetulan restoran tersebut tiada pelanggan. Berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek mengambil senjata di dalam kereta.
“BIasanya kedai saya buka pada waktu petang, tetapi hari ini (semalam) kami datang pada sebelah pagi kerana mahu menyiapkan tempahan. Saya dengar bunyi kuat, ingatkan mercun atau orang tembak gagak.
“Sebaik menjengah ke luar kedai, saya nampak lelaki itu (suspek) memegang senjata, jadi saya cemas. Kebetulan anak saya berada di luar kedai, jadi saya suruh dia masuk,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Wanita itu turut mendakwa suspek kemudian beredar ke sebuah kedai berhampiran dan dipercayai sempat memberitahu orang awam bahawa dia telah menembak mati mangsa.
“Dalam masa sama peniaga kedai bersebelahan lokasi kejadian menghubungi polis untuk tindakan lanjut. Memang trauma. Bergaduh mulut itu memang biasa di kawasan ini, tapi belum sampai tahap melepaskan tembakan. Jadi saya memang terkejut,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu, dua lelaki tempatan dan seorang wanita asing berusia 37 hingga 63 tahun maut di lokasi selepas ditembak warga emas dengan senapang patah. Kejadian dipercayai bermotifkan hutang, namun punca sebenar masih dalam siasatan.
















