PETALING JAYA – “Saya kembali bukan dengan sebarang tuntutan, tetapi dengan tekad untuk berkhidmat dan menyumbang sebaik mungkin kepada kekuatan UMNO”.
Demikian kata bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin selepas beliau diterima kembali menyertai parti itu.
Khairy turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) atas kebijaksanaan serta pertimbangan yang diberikan dalam menerima kembali permohonannya sebagai ahli parti.
“Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang telah membuat keputusan ini dengan penuh hikmah dan keinsafan terhadap masa depan perjuangan parti.
“Saya menerima keputusan ini dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran, serta menyedari amanah besar yang hadir bersamanya,” katanya hari ini.
Beiau berkata, tempoh berada di luar parti telah memberi beliau ruang untuk muhasabah dan memperbaiki kelemahan diri.
Katanya, beliau juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan dan akar umbi demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti.
“Semoga keputusan ini menjadi titik permulaan baharu untuk kita melangkah ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan Khairy Jamaluddin dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein antara 6,252 bekas pimpinan serta ahli pelbagai peringkat yang diterima kembali menyertai parti itu.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Khairy sebelum ini telah dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 ekoran pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15. – KOSMO! ONLINE














