fbpx
LTSIP dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Pemanjangan landasan lapangan terbang Kota Bharu siap hujung tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LSTIP), Pengkalan Chepa di sini sejauh 400 meter dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foo berkata, projek pemanjangan landasan daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter itu sudah dijalankan bagi membolehkan LTSIP mengendalikan penerbangan antarabangsa melebihi enam jam seperti ke China dan Korea Selatan.

Katanya, buat masa ini, LTSIP mampu mengendalikan penerbangan antarabangsa melebihi dua jam seperti ke Singapura, Bangkok, Thailand dan Jakarta, Indonesia tanpa sebarang masalah.

“Bagi penerbangan antarabangsa melebihi enam jam, pesawat memerlukan lebih penggunaan minyak sekali gus memerlukan landasan lebih panjang untuk berlepas dan penerbangan yang membawa lebih muatan.

“Pemanjangan landasan itu akan menarik lebih banyak penerbangan antarabangsa dan meningkatkan potensi LTSIP sebagai hab penerbangan ke Pantai Timur Semenanjung,”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Terminal Baharu LTSIP, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Mengulas lanjut, Anthony memberitahu, perasmian tersebut menandakan penyiapan penuh projek naik taraf LTSIP bernilai RM440 juta yang berfungsi sebagai lapangan terbang domestik dan boleh mengendalikan penerbangan antarabangsa.

Menurutnya, meskipun LTSIP adalah lapangan terbang domestik, tetapi ia dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam.

“Kita memang ada perancangan untuk membuka laluan selain Singapura, Jakarta dan Bangkok dalam masa terdekat kerana Kota Bharu mempunyai potensi besar sebagai pintu masuk ke Pantai Timur,” ujarnya.

Anthony berkata, usaha berterusan sedang dijalankan untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan menjadikan LTSIP sebagai hab di Pantai Timur termasuk menarik penumpang-penumpang dari negara jiran seperti Thailand menggunakan lapangan terbang ini untuk ke destinasi masing-masing.

Menurutnya, kerajaan sudah berbincang dan berharap syarikat-syarikat penerbangan, terutama Malaysia Airlines, Batik Air dan Air Asia menggunakan LTSIP sebagai hab penebangan.

“Kita juga merancang untuk menarik lebih ramai penumpang dari negara jiran terutamanya Thailand untuk guna LTSIP bagi perjalanan ke destinasi lain seperti Bangkok, Jakarta, Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN