PETALING JAYA – Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa melaungkan amaran buat Al Ahli menjelang pertemuan suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium King Abdullah Sports City, malam esok.
Pemain yang pernah memiliki pengalaman beraksi di saingan tertinggi di Sepanyol itu menegaskan tiada istilah mengalah awal sebaliknya Harimau Selatan bersedia beri tentangan kepada juara bertahan berkenaan.
“Ia perlawanan yang sangat penting bagi kami, ia satu cabaran kerana kami berdepan dengan salah satu pasukan yang bajet terbaik di dunia, dengan pemain yang sangat bagus. Tetapi kami tetap percaya kepada diri sendiri.
“Tiada apa yang perlu dikesalkan, (namun) kami datang ke sini bukan untuk bercuti. Jadi kami akan memberikan semua yang kami ada dan kemudiannya, kita lihat bagaimana hasilnya,” katanya pada sidang media pra perlawanan, hari ini.
Selepas mencipta sejarah muncul pasukan Malaysia yang pertama layak ke suku akhir ACLE, Insa menjelaskan JDT adalah kelab yang sentiasa mahu meraih kejayaan.
“Ini adalah perlawanan penting buat kami. JDT adalah kelab baharu (dibentuk) 12 tahun namun kami mencapai banyak perkara.Tahun demi tahun, kami makin berkembang.
“Untuk berada di sini perlukan kerja keras seperti kami lakukan di saingan kumpulan hingga ke peringkat ini” katanya. – KOSMO! ONLINE














