KOTA BHARU – Kegigihan seorang pegawai tadbir di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan yang konsisten menabung selama 12 tahun akhirnya membuahkan hasil apabila memenangi Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) wang tunai berjumlah RM1 juta menerusi kategori Cabutan Jutawan.
Muhammad Riyadhul Hanif Abdullah, 34, merupakan individu ke-122 yang memenangi ganjaran BSN SSP bagi Mac lalu.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia mula menyimpan BSN SSP sejak daripada menuntut di menara gading lagi dan sering berangan-angan akan bergelar jutawan suatu hari nanti.
Menurutnya, deposit pertama pembukaan BSN SSP ketika itu hanya serendah RM50 sebelum beliau secara berterusan menabung untuk sijil tersebut setiap bulan.
“Saya mula menabung dengan BSN SSP selepas terinspirasi dengan golongan muda dan kanak-kanak yang berusia belasan tahun memenangi pelbagai ganjaran. Sejak daripada itu, saya mula menanam impian untuk menjadi salah satu pemenang.
“Alhamdulillah, saya tidak sangka apabila menerima panggilan daripada pihak BSN kira-kira dua minggu lalu yang memaklumkan bahawa saya merupakan pemenang bagi bulan Mac,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sesi Temu Bual Bersama Jutawan BSN SSP Ke-122 di sini hari ini.
Muhammad Riyadhul Hanif memberitahu, beliau ketika itu sedang berada di bengkel untuk membaiki kebocoran enjin keretanya terkejut apabila mendapat panggilan tersebut.
Katanya, beliau tidak menyangka wang ribuan ringgit dikeluarkan pada hari tersebut untuk membaiki kereta bagi kemudahan keluarganya itu dibalas dengan kemenangan RM1 juta.
Ditanya mengenai simpanan menerusi BSN SSP, beliau memberitahu, dia sangat komited dalam aspek menabung apabila akan mengasingkan sebanyak RM200 hingga RM300 daripada pendapatan bulanannya untuk menabung BSN SSP.
Menurutnya, wang RM1 juta yang dimenanginya itu akan digunakan sebaiknya untuk menyelesaikan komitmen seperti pinjaman perumahan, kereta dan untuk simpanan anak-anak pada masa akan datang.
“Wang kemenangan ini membolehkan saya berupaya mencapai status kebebasan kewangan dalam usia muda. Dalam kita menabung, paling penting adalah nafkah dan komitmen keluarga yang tidak boleh diabaikan kerana ia perlu diutamakan terlebih dahulu.
“Selain itu, saya juga dibesarkan oleh ibu bapa yang mengajar agar sentiasa menabung dan tidak hidup bermewah-mewah. Sikap itu saya pegang daripada kecil sehingga sudah berkeluarga,” ujarnya.
Muhammad Riyadhul Hanif berkata, meskipun sudah bergelar jutawan, dia akan terus menabung menerusi kempen BSN SSP dan berharap akan mendapat tuah memenangi sekali lagi wang tunai RM1 juta dan sebuah kereta Porche Macan pada Disember ini.
“Kedua-dua hadiah itu merupakan ganjaran utama kempen BSN SSP pada tahun ini dan saya menyasarkan untuk memenanginya jika ada rezeki,” katanya. – KOSMO! ONLINE














