fbpx
Hussein (dua kiri) bercakap pada sidang akhbar mengenai kejayaan JSJN melumpuhkan sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

Sindiket vape ‘dadah zombi’ bernilai lebih RM31 juta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Taktik baharu sindiket dadah yang menyembunyikan bahan terlarang termasuk dalam katrij vape terbongkar selepas rangkaian pengedaran bernilai RM31.57 juta terbongkar menerusi Op Hemiptera di sekitar Lembah Klang pada 9 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua lelaki tempatan berusia 31 dan 33 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di Puchong dan Cheras.

“Serbuan pertama di Bandar Kinrara membawa kepada penahanan suspek yang bertindak sebagai ‘transporter’. Pemeriksaan ke atas kereta jenis Audi menemukan 200 bungkusan methamphetamine seberat 212 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut beliau, susulan tangkapan itu, serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat di Cheras menahan seorang lagi suspek yang berperanan sebagai penjaga stor.

“Pemeriksaan di premis itu menemukan 389 bungkusan methamphetamine seberat 404.12 kilogram, 1,975 kepingan pil erimin 5 (6.4 kilogram) serta 400 katrij vape mengandungi cecair disyaki fentanyl (0.8 liter), yang dikenali sebagai ‘dadah zombi’,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan melibatkan 616.12 kilogram methamphetamine, 6.4 kilogram pil erimin 5 dan 0.8 liter cecair fentanyl dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM31.57 juta.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi meninggalkan kenderaan berisi dadah bersama kunci di lokasi tertentu sebelum diambil pelanggan untuk dipindahkan ke stor simpanan, kemudian dipulangkan semula bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek dipercayai mula terlibat dengan sindiket itu sejak awal tahun ini dan berperanan sebagai ‘transporter’ serta penjaga stor.

Katanya, JSJN turut menyita pelbagai aset termasuk tiga kenderaan iaitu Toyota Alphard, Mazda dan Honda City serta wang tunai, dengan nilai keseluruhan sitaan RM432,000.

“Kedua-duanya didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman bermula 10 hingga 22 April 2026 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN