JASIN – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian hasil laut di sebuah Restoran Ikan Bakar dekat Jalan Jeti Anjung Batu – Pantai Siring, Serkam petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Lee Robert berkata, suspek berusia 33 tahun itu diberkas sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sebuah rumah di Kampung Pulai Baroh kira-kira pukul 4 petang.
Menurutnya, seorang lagi lelaki berusia 39 tahun turut ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk stor Surau At-Taqwa, Taman Merlimau Utara pada 8 April lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 33 tahun mengaku terlibat dalam kecurian makanan laut di sebuah premis di Pantai Siring yang sebelum ini tular di media sosial.
“Suspek bersama rakannya turut mengaku terbabit dalam kejadian pecah masuk stor surau berkenaan sehingga menyebabkan beberapa barangan termasuk televisyen dan pembesar suara hilang,” katanya, di sini hari ini.
Tambahnya, polis turut merampas sebuah televisyen 45 inci, set mikrofon tanpa wayar serta sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.
“Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing ke atas salah seorang suspek didapati positif methamphetamine,” katanya dengan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Kosmo! pada 13 April lalu melaporkan seorang pengusaha kedai ikan bakar kerugian kira-kira RM2,000 selepas pelbagai hasil laut hidup disyaki dicuri dalam kejadian di Jalan Jeti Anjung Batu, Umbai, di sini, Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE














