LONDON – Bekas pelumba Formula Satu (F1), Juan Pablo Montoya menyifatkan kemelut dalaman yang membelenggu pasukan Red Bull sebagai ‘peluang keemasan’ buat Mercedes untuk menyambar Max Verstappen.
Red Bull berada dalam keadaan tertekan susulan kemerosotan prestasi pada awal musim 2026 selain kehilangan tonggak utama pasukan, Gianpiero Lambiase yang menyertai McLaren.
Lebih memburukkan keadaan, Red Bull turut kehilangan beberapa individu penting termasuk Helmut Marko, Will Courtenay dan Rob Marshall, Christian Horner, Jonathan Wheatley dan Adrian Newey.
Montoya percaya Mercedes berada pada posisi terbaik untuk mengambil peluang mendapatkan khidmat Verstappen, lebih-lebih ketua pasukan, Toto Wolff sememangnya meminati pelumba Belanda itu.
“Lihat Mercedes, Kimi Antonelli menang dua perlumbaan terakhir tetapi George Russell pula bergelut. Toto Wolff sudah lama mengatakan dengan jelas bahawa dia mahukan Max (Verstappen) dalam pasukannya. Ini mungkin peluang terbaik.
“Jika Red Bull terus perlahan sepanjang musim ini, Max pasti akan mencari jalan keluar secepat mungkin,” katanya.
Dalam masa sama, kehilangan Lambiase yang menjadi jurutera perlumbaan Verstappen sejak awal karier di Red Bull turut dilihat sebagai tamparan besar buat pasukan itu.
Ketika ini, Red Bull berada di tangga keenam kejuaraan dalam carta pengeluar selepas tiga pusingan, ketinggalan di belakang Alpine dan Haas.
Malah, mereka hanya dipisahkan dua mata dengan pasukan ‘adik’, Racing Bulls sehingga mencetuskan persoalan mengenai masa depan Verstappen. – AGENSI














