KOTA BHARU – Perjuangan lebih sedekad keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman untuk menuntut keadilan buat bekas pelajar mahaad tahfiz di Kok Lanas yang menjadi mangsa bunuh pada 2013 memasuki fasa baharu apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan pihak defendan untuk membatalkan saman dan tuntutan yang difailkan oleh keluarga pelajar terbabit.
Keputusan penting itu dibuat Hakim Mohd. Rosli Yusoff selepas mendapati kes berkenaan tidak boleh ditamatkan secara ringkas, sebaliknya wajar diteruskan ke perbicaraan penuh.
Peguam yang mewakili pihak plaintif, Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin berkata, mahkamah memutuskan bahawa kes berkenaan bukan satu kes yang jelas dan nyata untuk dibatalkan secara ringkas, sekali gus membolehkan ia diteruskan ke perbicaraan penuh.
Menurutnya, tuntutan plaintif adalah berkaitan dengan ketinggalan ataupun kecuaian defendan-defendan dalam menjalankan siasatan terhadap insiden kematian anak plaintif.
“Mahkamah turut mengambil kira bahawa siasatan kes berkenaan masih berjalan beberapa tahun selepas kejadian, termasuk selepas prosiding inkues bermula pada Mac 2016 dan perkembangan siasatan sehingga tahun 2018.
“Sehubungan itu, mahkamah berpendapat adalah tidak munasabah untuk menganggap tuntutan plaintif telah luput hanya berdasarkan tarikh kejadian pada Disember 2013,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini hari ini.
Tengku Shazuan memberitahu, permohanan defendan untuk membatalkan kes tersebut ditolak dengan kos ditetapkan pada akhir prosiding.
Pihak plaintif diwakili barisan peguam terdiri daripada Surendra Ananth, Dr. Zulqarnain Lukman, Kelvin Ng Sin Huat, Lim Yin Shan dan Abby Si Xinyi, manakala defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb serta Siti Syuhada’ Alwi.
Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes pada 18 Mei depan, manakala perbicaraan penuh dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 April 2027.
Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka semula kertas siasatan berhubung kes Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa PDRM akan membuka semula kertas siasatan kes Wan Ahmad Faris untuk dilihat semula.
Katanya, PDRM tiada masalah untuk berbuat demikian kerana kertas siasatannya sudah pun siap namun pada ketika itu Timbalan Pendakwa Raya (DPP) mengklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Terdahulu, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat ditemukan dalam keadaan separuh bogel dan tergantung di tandas asrama maahad tahfiz berkenaan pada 14 Disember 2013.
Mayat remaja itu dijumpai oleh penyelia asrama selepas terhidu bau dan pada awalnya kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kerana tiada unsur jenayah.
Mahkamah Koroner Kota Bharu pada Jun 2016 bagaimanapun memutuskan kematian Wan Ahmad Faris adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE













