KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan keseluruhan RM1.825 juta bagi menyokong penganjuran dua kejohanan Piala Dunia yang bakal berlangsung di Malaysia tahun ini.
Peruntukan tersebut melibatkan dua badan induk sukan negara iaitu Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang akan menganjurkan kejohanan masing-masing pada April dan Mei.
Piala Dunia Berbasikal Trek dijadual berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai dari 24 hingga 26 April, manakala Piala Dunia Sepak Takraw akan diadakan di Stadium Titiwangsa bermula 16 hingga 23 Mei depan.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, bantuan itu disalurkan menerusi Geran Padanan Sukan sebagai usaha memperkukuh penganjuran acara bertaraf dunia di negara ini.
“Selepas mesyuarat jawatankuasa khas, kita meluluskan RM1 juta melalui Geran Padanan Sukan bagi penganjuran Piala Dunia sepak takraw bulan depan di Malaysia.
“Kita berharap sebagai tuan rumah, kita dapat terus menghidupkan sukan ini bukan sahaja di peringkat antarabangsa, malah hingga ke akar umbi,” katanya semasa Majlis Perasmian Kompleks Sepaktakraw Malaysia, di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru hari ini.
Menurutnya, KBS turut meluluskan tambahan RM825,000 bagi memastikan penganjuran Piala Dunia berbasikal trek berjalan lancar tanpa sebarang kekangan.
“Untuk Geran Padanan Sukan, kita juga memperuntukkan tambahan RM825,000 bagi Piala Dunia yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 haribulan ini,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan penganjuran kejohanan berprestij seperti ini penting dalam usaha mengangkat sukan tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Tambahnya, langkah tersebut bukan sahaja memberi impak kepada prestasi atlet, malah mampu merancakkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi serta meningkatkan imej Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan antarabangsa. KOSMO! ONLINE














