KUALA NERANG – Seorang peniaga berdepan detik cemas apabila sebahagian gerainya runtuh dan menimpa dua pelanggan dalam kejadian ribut di Felda Lubuk Merbau, dekat sini semalam.
Menurut Nik Hasan Nik Su, 47, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang ketika dia dan isteri, Norasiah Hasan, 52, baru sahaja membuka gerai.
“Ribut datang dua kali, yang pertama tidak kuat sangat sebelum datang angin kencang kali kedua. Ribut itu sangat menakutkan menyebabkan saya dan isteri ketakutan, kami berlari masuk ke ruang dalam gerai.
“Waktu itu ada dua pelanggan berusia lingkungan 60-an sedang makan, mereka tidak sempat lari sebelum dihempap struktur bumbung yang runtuh. Selepas ribut reda, saya keluar dan mereka beritahu kena hempap bumbung sebelum beredar,” katanya ketika ditemui di gerainya, hari ini.
Katanya, dalam keadaan kelam-kabut itu, dia tidak sempat bertanyakan keadaan dua pelanggannya itu.
“Angin sangat kuat sehinggakan kira-kira 10 tiang gerai tumbang, sebahagian bumbung juga hilang diterbangkan angin. Saya risau tidak boleh berniaga kerana hanya ini sumber pendapatan untuk menyara keluarga, kedai ini pun saya sewa,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Iswani Taib, 52, berkata, ia merupakan kejadian terburuk yang pernah berlaku di Felda tersebut kerana lebih 100 rumah dan premis perniagaan terjejas.
“Semasa kejadian, saya sedang berehat di bilik belakang di kedai makan saya ini sebelum terdengar bunyi deruan angin. Datang angin kedua, terus mengangkat keseluruhan bumbung gerai makan dan waktu itu saya hanya mampu melaungkan azan.
“Bumbung kedai diterbangkan ke lorong tengah bangunan kedai iaitu sejauh kira-kira 30 meter. Kerugian dianggarkan RM30,000 dan saya berharap ada pihak yang datang memberi bantuan segera,” ujarnya.
Penduduk, Azizul Ibrahim, 39, berkata, kesan selepas kejadian sangat teruk bagaikan tsunami apabila bumbung rumah termasuk dari rumahnya serta sisa pokok berselerakan di sana sini.
“Angin sangat kuat sehinggakan bangsal kayu di depan rumah saya yang berat itu pun boleh beralih. Selepas bumbung hilang, air hujan masuk ke dalam rumah menyebabkan semua perabot dan barangan elektrik basah.
“Tidak tahulah boleh guna lagi atau tidak, selain itu bumbung juga perlu dibaiki segera yang mana kosnya agak tinggi disebabkan kenaikan harga diesel,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Ketua Kampung Dusun, Felda Lubuk Merbau, Mohd. Shahrin Abd. Rahman berkata, sehingga pukul 12 tengah hari ini, kira-kira 143 rumah dilaporkan terjejas akibat kejadian itu dan ia tidak termasuk 30 kedai yang turut rosak. – KOSMO! ONLINE














