SABAK BERNAM – Seorang penunggang motosikal yang cedera disambar api daripada botol plastik berisi petrol dibawanya sendiri di Sungai Besar di sini, kini dilaporkan stabil.
Ibu mangsa, Ruzita Mohd. Shahrani, 45, berkata, Muhammad Iman Shah Mat Said, 19, sudah sedar dan dalam keadaan baik selepas dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menerima rwatan lanjut.
Jelasnya, anak ketiga daripada empat beradik itu dipindahkan dari Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam petang semalam.
“Anak saya menjalani prosedur pembedahan dan rawatan kesan melecur di beberapa anggota badannya. Kecederaan dialaminya pada paha dan betis kanan selain sedikit kecederaan pada muka. Saya bersyukur dia selamat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kemalangan kira-kira pukul 4.30 petang di Kilometer 48, Jalan Teluk Intan-Klang itu cedera pada muka, badan dan kaki.
Mengulas lanjut, kata Ruzita, ketika kejadian anaknya keluar membeli petrol dipercayai bagi kegunaan motosikalnya sebelum kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Saya hanya dimaklumkan kejadian itu oleh seorang anak yang lain selepas menerima panggilan daripada rakan mangsa.
“Anak saya sedang mengikuti pengajian dalam bidang kemahiran elektrik di sebuah pusat latihan dan baru saja menamatkan latihan praktikal,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














