KOTA BHARU – Seorang guru Pendidikan Islam direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu yang dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam.
Perintah reman terhadap penjawat awam wanita berusia 57 tahun itu dibenarkan Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, guru tersebut yang memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 8.40 pagi dengan menaiki trak polis.
Kosmo! Online semalam melaporkan, luluh hati seorang bapa melihat anaknya terbujur dalam keadaan tidak bernyawa di dalam surau selepas dirempuh sebuah SUV Honda HR-V di dalam kawasan sekolah.
Dalam kejadian pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah pada bahagian kepala.
Siasatan awal polis mendapati insiden berpunca daripada pemandu SUV tersebut yang dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.
Menurutnya, ketika kejadian pemandu Honda HR-V itu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas dan melanggar dua pelajar perempuan yang sedang memakai kasut di depan surau. SUV tersebut kemudian merempuh tiang surau.
Nahas menyebabkan salah seorang mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk dbedah siasat.
Seorang lagi mangsa parah pada bahagian badan dan dirawat di Zon Merah, Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini. Pemandu SUV pula tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE














