Melaka – Pasar raya serbaneka, 99 Speedmart terus memperkukuh komitmennya terhadap kesihatan komuniti melalui penyaluran sumbangan berjumlah RM500,000 kepada Yayasan Toh Puan Zurina (YTPZ) bagi tempoh lima tahun akan datang sehingga 2030.
Sumbangan ini bertujuan untuk menyokong pelbagai inisiatif kebajikan dan program kesihatan komuniti yang dilaksanakan oleh YTPZ, khususnya dalam meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi golongan yang memerlukan, antara lain kumpulan sasaran boleh mendapatkan rawatan dialisis secara percuma di yayasan tersebut
Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart, Yong Eng Kwang berkata, inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat serta memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan, selaras dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
Majlis simbolik penyerahan replika cek telah diadakan di Yayasan Toh Puan Zurina di sini dan disempurnakan oleh Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Dalam masa yang sama, YTPZ turut merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan, sekali gus boleh memberi manfaat besar kepada komuniti setempat, khususnya pesakit yang memerlukan rawatan kesihatan berterusan. -KOSMO! ONLINE














