PERJALANAN menelusuri Sungai Perak yang bermula dari Tasik Raban, Lenggong, Perak menawarkan sebuah pengembaraan menggabungkan panorama semula jadi, warisan sejarah dan kehidupan komuniti setempat.
Dari jeti di Tasik Raban, pengunjung dibawa menelusuri laluan air yang memperlihatkan gabungan landskap Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa.
Sepanjang perjalanan, suasana damai tasik diserikan dengan pemandangan flora semula jadi, termasuk hamparan bunga teratai yang berkembang indah, sekali gus memberi pengalaman seolah-olah berada di luar negara.
Menurut Pengurus Koperasi Lenggong Geopark Berhad, Wan Baharudin Wan Harun, jelajah itu bukan sekadar menikmati keindahan alam, malah sarat dengan nilai sejarah.
“Sungai Perak merupakan saksi kepada perkembangan awal Kesultanan Melayu Perak, selain kewujudan empangan antara terawal dibina di Semenanjung Malaysia iaitu ketika zaman pemerintahan British sekitar tahun 1930.
“Malah, kawasan Tasik Raban sendiri mempunyai kisah tersendiri. Dahulunya kawasan ini merupakan sebuah perkampungan, sebelum tenggelam akibat pembinaan empangan,” katanya.
Secara asasnya, perjalanan menelusuri Sungai Perak memakan masa kira-kira dua jam untuk dilengkapkan.

Namun, pengunjung berpeluang memilih pelbagai aktiviti tambahan seperti mengunjungi Air Terjun Lata Tuk Muda, menunggang kenderaan pacuan semua roda (ATV) atau menikmati hidangan tradisional bersama komuniti setempat di pulau-pulau sekitar sungai tersebut.
Pakej yang ditawarkan bersifat fleksibel sama ada jelajah asas, separuh hari atau sehari penuh, sekali gus membolehkan pelancong menyesuaikan pengalaman mengikut minat dan masa masing-masing.
Semasa kunjungan penulis bersama rakan-rakan media yang dianjurkan oleh Think City, kami sempat singgah menikmati juadah tempatan di Kampung Batu Ring bersama komuniti tempatan.
Kongsi Wan Baharudin lagi, perkhidmatan tersebut bukan sahaja memberi pengalaman pelancongan yang unik, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk kampung melalui penglibatan sebagai pemandu bot, penyedia makanan dan pengendali aktiviti.
“Perkhidmatan cruise ini bermula pada Disember 2024 dengan sebuah bot pelancong sahaja.
“Kini, terdapat 10 buah bot pelancong, dan dua buah bot memancing yang digunakan untuk aktiviti mengail ikan.
“Perkhidmatan ini membantu penduduk kampung sekitar seperti Kampung Batu Ring, Kampung Durau dan Kampung Beng menjana pendapatan,” katanya.
Bot yang digunakan mempunyai kapasiti antara lima hingga 12 orang dan memiliki lesen daripada Jabatan Laut Malaysia.

Aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan bagi memastikan keselamatan penumpang sepanjang perjalanan.
Menurut data, pada tahun lalu, jumlah pengunjung mencecah hampir 9,500 orang. Dalam tempoh suku pertama tahun ini, kira-kira 500 pengunjung telah direkodkan.
Jelas Wan Baharudin, tiada had umur khusus ditetapkan kepada penumpang untuk menyertai aktiviti tersebut.
Sebaliknya, penyertaan bergantung kepada pertimbangan dan keyakinan peserta terhadap aspek keselamatan.
“Kami memiliki kapasiti bot yang berbeza iaitu lima, lapan, 10 dan 12 orang.
“Kami memberi fleksibiliti kepada pelancong untuk membuat pilihan sendiri berdasarkan keperluan mereka.
“Kami tidak meletakkan had umur dalam aktiviti ini.
“Kami tetap menyediakan jaket keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga walaupun aktiviti ini tidak ekstrem,” katanya.














