REMBAU – Sebuah lori tangki membawa muatan petrol terbabas sebelum terbalik di kilometer 231.1, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan), di sini, petang tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, muatan minyak berkenaan dipercayai selamat serta tidak tumpah.
“Susulan kejadian ini, pemandu lori tangki iaitu lelaki berusia 37 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah di bawa ambulan ke Hospital Rembau.
“Keadaan lalu lintas di lebuh raya terkawal dan hanya laluan kiri dan kecemasan ditutup serta dikawal oleh pasukan peronda lebuhraya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu hantaran di media sosial rasminya memaklumkan trafik perlahan kira-kira 4.5 kilometer susulan kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE














