ASTANA – Seorang penghantar makanan di Kazakhstan dikecam kerana membuang air kecil ke dalam kereta sorong bayi sebelum menghantar makanan kepada pelanggan, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di bandar Almaty, baru-baru ini.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki itu masuk ke dalam sebuah bangunan sebelum memeriksa sebuah kereta sorong bayi yang tidak bertuan.
Selepas memastikan tiada orang di sekelilingnya, dia membuka zip seluar lalu membuang air kecil ke dalam kereta sorong bayi tersebut.
Rakaman sama menunjukkan dia kemudian berjalan ke dalam bangunan untuk menghantar pesanan kepada pelanggan.
Pemilik kereta sorong bayi telah melaporkan perkara itu kepada polis.
“Ia memiliki bau hancing yang sangat kuat dan kami terpaksa membuangnya,” kata pemilik kereta sorong bayi tersebut. – AGENSI














