ISLAMABAD – Tentera Udara Pakistan (PAF) mengerahkan sebilangan jet pejuang, pesawat pengangkut C-130, pesawat pengisi bahan api dan kapal terbang radar AWACS ke Asia Barat, lapor laman berita India Today.
Ketika ketegangan meruncing walaupun selepas pengumuman gencatan senjata selama dua minggu, Pakistan berdepan tugas kritikal untuk menjamin keselamatan pesawat delegasi Iran daripada sebarang ‘percubaan buruk’ Israel.
Skala perisai udara yang digelar beberapa pakar ketenteraan sebagai ‘Pengiring Besi’ itu mencerminkan tekanan hebat yang dihadapi Islamabad selaku tuan rumah kepada mesyuarat diplomatik paling penting dalam tempoh beberapa tahun.
Kelmarin Pakistan dengan bantuan China, berjaya menjadi perantara gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, menghentikan pertempuran selama sebulan yang membunuh lebih 2,000 orang di Tehran.
Pakistan kini perlu merundingkan penamatan konflik Asia Barat secara kekal.
Pakistan sedar bahawa imejnya dipertaruhkan di peringkat antarabangsa. Selain mengunci sebahagian kawasan di Islamabad, sistem pertahanan udara di ruang udara di selatan dan barat Pakistan telah diaktifkan.
“Pelan komprehensif disediakan untuk memberikan keselamatan yang terjamin sepenuhnya kepada semua tetamu asing,” kata menteri Pakistan Mohsin Naqvi kepada The Dawn.
Naib Presiden AS, JD Vance yang mengetuai delegasi Amerika sedang dalam dalam perjalanan ke Islamabad hari ini. Di pihak Iran, rundingan itu berkemungkinan diketuai oleh Speaker Parlimen Mohammad Ghalibaf dan Menteri Luar Abbas Araghchi. – AGENSI






