KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan setakat ini tiada penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung mafia korporat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan, Victor Chin.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, siasatan terhadap isu itu namun masih lagi dijalankan dengan beberapa Individu yang berada di luar dan dalam negara telah dikenal pasti untuk diminta memberi keterangan.
“Arahan yang saya terima untuk meneruskan siasatan terhadap mafia korporat ini. Itu yang dapat saya rungkaikan buat masa inilah. Pada peringkat awal hari itu sampai ke hari ini tidak ada lagi penglibatan daripada SPRM,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Dakwaan mengenai gerakan mafia korporat membabitkan SPRM mula timbul menerusi laporan Bloomberg pada akhir Februari lalu.
Laporan itu mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif menjual saham dalam syarikat sasaran bagi tujuan pengambilalihan.
Kabinet kemudian mengarahkan PDRM, Suruhanjaya Sekuriti, SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjalankan siasatan menyeluruh.
Dalam pada itu, Mohd. Khalid menjelaskan, siasatan membabitkan individu yang berada di luar negara memerlukan kerjasama antara kerajaan serta agensi berkaitan.
“Bila melibatkan negara asing, ia memerlukan kerjasama antara ‘G2G’ (kerajaan dengan kerajaan) serta antara agensi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














