KETIKA memiliki sumber pendapatan yang stabil dan mampu memberi kemewahan kepada isteri tersayang, Nizam (bukan nama sebenar) dilayan dengan baik oleh keluarga mentuanya.
Namun layanan itu berubah sekelip mata selepas Nizam berhadapan dengan masalah kewangan apabila perniagaan yang diusahakannya mengalami masalah.
Bukan itu sahaja, keluarga mentuanya turut campur tangan sehingga menyebabkan dia terpaksa melepaskan isteri tercinta.
“Sebelum ini, kehidupan saya cukup mewah kerana perniagaan yang saya usahakan menjadi.
“Saya bukan hanya boleh memberikan kemewahan kepada isteri, malah turut berkongsi rezeki saya dengan keluarga mentua,” kata Nizam yang kini berusia lewat 30-an.
Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, dia mengenali isterinya menerusi salah seorang rakan karibnya.
Dia mengakui telah jatuh cinta saat pertama kali melihat wajah isterinya.
Setelah dua bulan berkenalan antara satu sama lain, dia mengambil keputusan untuk melamar isterinya.
“Keluarga isteri saya ini biasa sahaja, mereka tidaklah sekaya mana.
“Malah, untuk perbelanjaan majlis perkahwinan di sebelah mereka, saya yang bayar sepenuhnya,” jelas Nizam.
Selepas berkahwin, Nizam dilayan dengan sangat baik oleh ahli keluarga mentuanya.
Bahkah, dia sendiri menganggap kedua-dua orang tua isterinya seperti ibu dan bapanya sendiri.
Hasil kebaikannya, rezeki Nizam semakin murah apabila perniagaan yang diusahakannya terus berkembang.
Disebabkan itu, dia dapat menyediakan rumah dan kenderaan yang selesa kepada isterinya.
Bukan itu sahaja, dia tidak kedekut untuk memberi wang kepada keluarga mentuanya pada setiap bulan untuk membeli barangan dapur.
Nizam juga baik hati membaik pulih rumah keluarga mentuanya untuk memberikan keselesaan kepada mereka ketika usia tua.
Malah, setiap kali ada perjumpaan, Nizam tidak kisah mengeluarkan wangnya untuk ‘belanja’ ahli keluarga mentuanya makan di restoran.
Namun begitu, terdapat juga sesetengah ahli keluarga isterinya yang mengambil kesempatan dengan kemurahan hati Nizam.
“Abang dan kakak ipar saya sering meminjam wang daripada saya.
“Disebabkan kasihan, saya beri mereka pinjam, namun mereka langsung tidak pernah membayarnya kembali,” ujarnya.
Selain itu, Nizam juga perlu menanggung sepenuhnya kos keluarga mentuanya jika mereka pergi bercuti.
“Isteri saya ini seorang yang ikut cakap keluarganya. Bagi menjaga hatinya, saya tidak kisah untuk berbuat demikian.
“Sebolehnya, saya tidak mahu beri pinjam atau belanja ahli keluarga mentua kerana mereka akan meminta-minta lagi selepas itu,” katanya.
Bagaimanapun, hidup Nizam mula diuji selepas perniagaan yang diusahakannya mengalami masalah kewangan sehingga menyebabkannya bankrap.
Disebabkan masalah tersebut, dia tidak dapat memberikan kemewahan kepada isterinya seperti sebelum ini.
Bahkan, banyak aset milik Nizam seperti lot tanah yang terpaksa dilelong untuk melangsaikan hutang perniagaannya.
Sejak itu, layanan keluarga mentuanya terhadap Nizam mula berubah 360 darjah.Ekoran itu, Nizam bukan lagi menantu kesayangan keluarga mentuanya.
“Dalam situasi sebegitu, keluarga mentua saya masih meminta wang daripada saya. Mereka langsung tidak memahami keadaan saya yang berhadapan dengan masalah kewangan.
“Bukan itu sahaja, isteri saya juga tidak memahami kerana terlalu mengikuti cakap keluarganya,” jelasnya.
Disebabkan masalah kewangan, Nizam sering bertikam lidah dengan isterinya sehingga menyebabkan wanita itu pulang ke rumah orang tuanya.
Nizam cuba memujuk isterinya, namun kunjungannya ke rumah keluarga mentuanya sia-sia.
Ahli keluarga mentuanya tidak membenarkan Nizam berjumpa dengan isteri dan anak-anaknya.
“Kemudian, saya mendapat pesanan daripada isteri yang meminta saya melepaskannya secara baik.
“Dia memberi alasan, keluarganya meminta berpisah secara baik kerana masalah kewangan saya,” kata Nizam.
Bagi mempertahankan rumah tangganya, pelbagai usaha dilakukan Nizam, namun semuanya tidak membuahkan hasil.
Akhirnya, Nizam mengambil keputusan untuk menceraikan isterinya, sebelum mereka sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Kedah.
Setelah berpisah, Nizam tekad untuk keluar daripada belenggu masalah kewangan yang dihadapinya.
Hasil bantuan keluarga dan rakan-rakannya, dia berjaya keluar daripada masalah tersebut serta mampu mengusahakan perniagaan baharu.
Kini, hidupnya semakin stabil, meskipun tidak mewah seperti sebelum ini.














