KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan setakat ini belum ada sebarang perbincangan dilakukan berhubung gesaan tindakan terhadap bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Menurut beliau, perkara itu juga belum dibawa ke mana-mana platform perbincangan dalam parti.
“Belum ada dan tak dibincangkan,” katanya ringkas pada sidang akhbar selepas majlis Simposium Seniman 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, hari ini.
Terdahulu, beberapa pimpinan PKR di peringkat negeri menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan dan kenyataan Rafizi yang didakwa boleh menjejaskan keharmonian parti.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa bersama timbalannya, Md. Ysahrudin Kusni dalam kenyataan bersama menyifatkan tindakan Rafizi bukan sekadar perbezaan pandangan biasa, sebaliknya berisiko menjejaskan keharmonian dalaman parti. – KOSMO! ONLINE














