fbpx
Hannah (dua, kanan) bersama Venon (dua, kiri) pada majlis pelancaran hari ini.

Diskaun kopi pagi inisiatif baharu kurangkan kesesakan ibu kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Zus Coffee dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan memperkenalkan inisiatif Bangun, KL! Ke Arah KL Yang Lebih Sejahtera dengan memberikan diskaun kopi istimewa di 250 outlet Zus Coffee di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga hujung tahun ini.

Melalui kempen tersebut, pengguna boleh mendapatkan kopi CEO Americano pada harga istimewa RM5, manakala CEO Latte ditawarkan pada RM7, iaitu diskaun sehingga 30 peratus berbanding harga asal menerusi pembelian di aplikasi Zus antara pukul 7 pagi dan 8 pagi setiap hari bekerja.

Langkah itu dilihat sebagai pendekatan kreatif untuk mengubah corak perjalanan harian warga kota dan membantu mengurangkan kesesakan trafik, dengan anggaran 1.2 juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap pagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, usaha berkenaan merupakan satu langkah kecil ke arah Kuala Lumpur yang lebih sejahtera, sambil menyediakan pengalaman bekerja yang lebih baik di ibu kota.

“Dengan cara ini, kami menggalakkan orang ramai supaya datang bekerja lebih awal untuk perjalanan lebih lancar dan menikmati suasana Kuala Lumpur pada sebelah pagi, manakala mereka yang gemarkan kopi boleh menikmati diskaun menarik di Zus Coffee.

“Mungkin akan ada yang mempersoalkan sejauh mana usaha ini mampu mengurangkan kesesakan, namun bagi kami ia masih lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa dan kami akan mengumpul data relevan bersama Zus sama ada kaedah ini mampu mengubah tabiat perjalanan warga kota.

“Kami turut menjemput perniagaan-perniagaan lain untuk serta dalam inisiatif ini dan mereka boleh menghubungi Jabatan Wilayah Persekutuan,” katanya pada majlis pelancaran di Zus Kasturi Walk, hari ini.

Tambah beliau, dengan peningkatan amalan kerja dari rumah, orang ramai mempunyai lebih fleksibiliti untuk merancang perjalanan dan memilih waktu yang kurang sesak untuk ke tempat kerja.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Zus Coffee, Venon Tian berkata, dalam kehidupan bandar yang bergerak pantas, pihaknya berharap Zus Coffee dapat menjadi ruang untuk komuniti memulakan hari dengan tenang, di mana mereka boleh berehat sebentar sebelum kesibukan bermula. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN