PETALING JAYA – Di sebalik perubahan zaman dan perkembangan kerjaya, masih wujud segelintir ibu bapa yang meletakkan syarat memilih menantu dalam kalangan penjawat awam.
Perkara itu kembali menjadi bualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial apabila ramai berkongsi pengalaman berdepan situasi sama ketika menjalinkan hubungan serius sehingga ke fasa perkahwinan.
Seorang pengguna Facebook mendedahkan hubungannya hampir terputus apabila keluarga pihak perempuan tidak merestui disebabkan dia bekerja di sektor swasta walaupun mempunyai pendapatan stabil.
“Bukan tidak cukup duit, tapi sebab bukan kerja kerajaan, terus tak dipandang. Sedih juga sebab dinilai hanya pada status kerja,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati persepsi penjawat awam lebih terjamin dari segi pencen dan faedah lain masih kuat dalam kalangan generasi lama.
Seorang lagi pengguna berkongsi, ibunya pernah menetapkan syarat bakal suami mestilah penjawat awam sebelum berubah fikiran selepas melihat kesungguhan pasangannya.
“Dulu emak memang nak menantu kerja ‘gomen’ sebab senang masa tua nanti. Tapi sekarang dia sudah faham, kerja swasta pun boleh berjaya,” ujarnya.
Sementara itu, pengguna Threads @AyuniIshak berpendapat, mentaliti tersebut wujud kerana kelebihan untuk jangka masa panjang terutama pencen dan kemudahan perubatan.
Katanya, landskap pekerjaan masa kini berubah dengan ketara dan banyak peluang dalam sektor swasta, keusahawanan serta ekonomi gig mampu menawarkan pendapatan lebih tinggi dan fleksibiliti kerja.
“Pemilihan pasangan hidup sepatutnya tidak bergantung kepada jenis pekerjaan semata-mata, sebaliknya tanggungjawab, kestabilan emosi dan kemampuan mengurus kehidupan bersama,” jelasnya.
Perkongsian wanita itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya berpendapat kriteria memilih menantu perlu lebih terbuka dan mengikut realiti semasa.
“Zaman sekarang bukan kerja ‘gomen’ sahaja yang boleh jamin masa depan. Yang penting rajin dan pandai urus kewangan,” kata @Noreenzz.
“Bukan sektor kerajaan sekarang dah tak ada pencen ka? Menjamin lagi ka?,” soal pengguna lain. – KOSMO! ONLINE














