SHAH ALAM – Penghuni sebuah pangsapuri di Subang Jaya dekat sini dikejutkan dengan penemuan sebanyak 41 bangkai kucing yang mereput dalam kediaman seorang wanita.
Lebih memilukan, 31 daripada bangkai haiwan itu ditemukan dalam keadaan berbungkus dengan plastik dan disimpan di dalam peti sejuk beku, manakala 10 lagi bangkai bersepah di ruang tamu dan sangkar.
Kesemua kucing malang itu dipercayai mati akibat tidak diberikan makanan secukupnya, manakala 36 ekor lain ditemukan masih hidup di dalam sangkar, tetapi dalam keadaan kurus dan tidak bermaya.
Kejadian itu terbongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor melakukan serbuan ke sebuah kediaman kira-kira pukul 4 petang, 13 Mac lalu susulan aduan orang ramai yang tidak tahan dengan bau busuk dari unit berkenaan.
Kediaman berkenaan dihuni seorang wanita berusia 49 tahun yang bekerja sebagai ‘freelancer runner’ dan hidup bersendirian.
Sebaik pintu dibuka, anggota operasi seakan ‘terkedu’ melihat keadaan dalam rumah yang bertukar menjadi seperti ‘kubur’ buat haiwan-haiwan malang itu.
Longgokan bangkai kucing memenuhi ruang, sebahagiannya sudah mereput manakala udara dalam rumah itu pula bau sangat busuk.
Pengarah DVS Selangor, Dr. Hassuzana Khalil berkata, kejadian itu dibimbangi boleh mengundang risiko kesihatan kepada penghuni lain di pangsapuri berkenaan.
“Kami turut menemui peti ais dan apabila dibuka, terdapat 31 bangkai kucing dalam keadaan berbungkus,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati bangkai kucing yang ditemui dalam peti ais telah disimpan sejak tahun lalu.
Tambahnya, kucing yang mati ditemui di ruang tamu pula dipercayai telah mati lebih dua minggu. Kesemua haiwan malang itu berusia lebih dua bulan.
“Dalam operasi kali ini, kami juga menemukan 36 ekor kucing pelbagai umur, jantina dan baka yang masih hidup, namun dalam keadaan lemah dan kurus yang disimpan di dalam sangkar.
“Kesemua kucing hidup dipercayai tidak diberikan makan sejak dua minggu sebelum serbuan pihak kami,” katanya.
Menurut Hassuzana, kucing yang hidup telah bawa ke Pejabat DVS Daerah Petaling untuk siasatan manakala kesemua bangkai telah dibawa ke Makmal Veterinar Zon Tengah, Salak Tinggi untuk proses bedah siasat.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan soal siasat terhadap seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang merupakan pemilik unit dan penjaga kucing berkenaan mendapati dia telah menjaga kesemua kucing itu sejak tahun lalu.
Katanya, suspek menyatakan bahawa kesemua kucing yang dibelanya merupakan kucing jalanan dan dijaga atas dasar keprihatinannya.
“Kami masih menjalankan siasatan mengenai motif suspek menyimpan bangkai kucing di dalam peti ais. Kertas siasatan juga sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.
Kes disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang mana Seksyen 29(1) memperuntukkan hukuman berat iaitu denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000, atau dipenjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.















