KOTA BHARU – Seorang imam sambilan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan merakam adik iparnya mandi menggunakan telefon bimbit pada hari raya keempat Aidilfitri baru-baru ini.
Tertuduh yang berusia 36 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Lelaki itu didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunan wanita berusia 27 tahun apabila merakam mangsa yang sedang mandi menggunakan telefon bimbit di sebuah rumah di Kok Lanas, Ketereh pada pukul 6.30 petang, 24 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Najwa Fahima Mohamad Fadzil.
Terdahulu, Muhammad Nadzir mencadangkan hukuman setimpal dengan pertimbangan mangsa adalah adik ipar tertuduh dan kejadian berlaku di rumah nenek mereka semasa keluarga besar berkumpul sempena Aidilfitri.
“Tertuduh juga menjadi imam sambilan di sebuah surau di Shah Alam, Selangor. Jadi, kedudukan agama yang tinggi seharusnya tidak boleh mengaibkan maruah adik ipar sendiri,” katanya.
Najwa Fahima bagaimanapun merayu hukuman denda yang minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
Menurutnya, tertuduh menanggung isteri dan dua anak dengan salah seorang daripada mereka berusia lima tahun menghidap penyakit jantung berlubang, manakala ibunya pula menghidap penyakit diabetes.
“Tertuduh merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Politik, Universitas Riau, Indonesia dan baru sahaja memulakan perniagaan eksport barangan ke Afrika Selatan selain bekerja sampingan sebagai imam untuk menyara keluarga,” katanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret menegur perbuatan tertuduh selepas mengambil kira latar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang selain imam dia sepatutnya memimpin keluarga termasuk menjaga maruah adik iparnya sendiri.
“Bukan ambil kesempatan dan jatuh air muka keluarga. Jangan jadi seperti haruan makan anak,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara selama 12 bulan sekiranya gagal bayar.
Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut fakta kes, pada ha1ri kejadian mangsa menyedari sebuah telefon bimbit merakam dia sedang mandi. Pemeriksaan kemudian mendapati peranti yang diletakkan atas dinding bilik air itu adalah milik abang iparnya.
Mangsa mengambil telefon itu kerana bimbang video tersebut tersebar sebelum membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE














