PETALING JAYA – Perkongsian gambar bumi oleh Pentadbiran Aeronaustik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) diambil dari kapal angkasa Orian dalam misi Artemis II ke bulan, menunjukkan satu lagi bukti kepada ‘geng bumi rata’ berhubung planet ini berbentuk sfera.
Gambar berkenaan dikongsikan oleh NASA pada Facebook yang menunjukkan angkasawan memandang ke arah bumi sewaktu berada di dalam kapsul berkenaan.
“Angkasawan NASA, Christina Koch dan Reid Wiseman, masing-masing meluangkan sedikit masa melihat kembali ke arah bumi melalui salah satu tingkap kapal angkasa Orion, ketika kru Artemis II meneruskan perjalanan mereka ke bulan.
“Mereka berada jauh di angkasa lepas, menjalankan misi ini untuk kita semua yang berada di bumi,” menurut kapsyen pada hantaran itu.
Ia mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai termasuk rakyat Malaysia berhubung gambar berkenaan menunjukkan bukti bumi berbentuk sfera dan bukannya rata seperti dikatakan segelintir pihak.
“Gambar ditangkap oleh Orion dalam misi Artemis II jelas menunjukkan bumi ini tidak rata,” kata penyelidik dan ahli fizik, Dr. Zamir Mohyedin pada hantaran Facebook.
“Siapalah yang masih percaya bumi ni rata. Entah apa-apa,” kata pengguna Facebook Faizal Ahmad.
“Setakat ini tiada pun gambar bumi berbentuk rata disiarkan oleh mana-mana pihak yang terlibat misi ke angkasa lepas. Yang peliknya, macam mana ada orang boleh percaya bumi berbentuk rata atau flat earth?,” kata Imran Lateh.
Media melaporkan, empat angkasawan menyertai misi Artemis II ke bulan menggunakan kapal angkasa Orion dan mereka terdiri daripada angkasawan Amerika Syarikat (AS) Victor Glover, Christina Koch dan Reid Wiseman serta angkasawan Kanada, Jeremy Hansen yang kini menjadi manusia pertama dalam tempoh lebih 50 tahun melakukan perjalanan ke Bulan.
Misi itu merupakan penerbangan ke angkasa yang kedua bagi Glover, Koch dan Wiseman, manakala Hansen pula kali pertama.
Mereka berlepas dengan menaiki kapsul Orion pada petang Rabu yang dilancarkan oleh roket Space Launch System dari pusat pelancaran Cape Canaveral di Florida, AS.
Artemis II dibina berasaskan pengalaman misi Artemis I tanpa kru pada 2022, dengan laluan penerbangannya secara keseluruhan menyerupai bentuk angka lapan mengelilingi bumi dan bulan.
Kru terbabit kini dijadual mengelilingi bulan sebelum kembali ke bumi dan mendarat di laut pada Jumaat. – KOSMO! ONLINE














